Berita Hari Ini

Polis PJ Suraikan Orang Ramai Di Pasar Seksyen 17

Pihak berkuasa mengerahkan pegawai polis dan Kementerian Kesihatan ke pasar Seksyen 17, Petaling Jaya, pagi ini selepas ramai orang hadir untuk membeli barangan keperluan harian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kehadiran ramai orang itu disedari mereka semasa pemeriksaan rutin kira-kira jam 9 pagi.

Jumlah orang yang memasuki pasar tersebut semakin meningkat sehingga mencecah 100 orang pada satu masa.

Bagaimanapun, kanak-kanak tidak kelihatan di pasar tersebut.

“Setelah menerima laporan polis mengenai kejadian itu, polis menghubungi Majlis Bandar Raya Petaling Jaya dan dimaklumkan pasar pagi tersebut diwartakan sebagai pasar awam.

“Kami kemudian memaklumkan kepada KKM dan menghantar anggota kami ke sana untuk memberi nasihat kepada orang ramai risiko mendapat jangkitan Covid-19 dalam kawasan yang ramai dan menyuruh mereka beredar,” kata Ezanee.

Beliau berkata jumlah orang berkumpul yang ramai mungkin berpunca daripada sesetengah orang awam yang tidak memahami risiko jangkitan.

Walaupun Majlis Keselamatan Negara membenarkan pasar awam dan kedai runcit untuk beroperasi sepanjang tempoh 14 hari perintah kawalan pergerakan ini, Ezanee menegaskan jumlah orang berkumpul yang ramai pada satu masa berisiko tinggi.

Namun beliau menambah, orang ramai memberikan kerjasama yang baik dan anggota polis mengambil masa hanya 15 minit untuk menyuraikan orang ramai.

Isnin lalu, perdana menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bertujuan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 yang bermula pada 18 Mac hingga 31 Mac.

Di bawah perintah itu, kerajaan mengarahkan kesemua pusat beli belah dan kemudahan ditutup sepanjang tempoh tersebut dengan pengecualian premis yang menjual barangan keperluan seperti pasar awam dan kedai runcit.

Tetapi, orang ramai dinasihatkan untuk mengekalkan jarak yang selamat di antara satu sama lain dan dilarang untuk keluar dari rumah tanpa sebab yang jelas memetik MKini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");