Panasnya Hari Ini

Rizal Bawa Dua Beg Berisi Wang Untuk ‘Mem’, Kata Saksi

KUALA LUMPUR – Saksi kesembilan pendakwaan, Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin, 40, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau hanya mengetahui dua beg yang dibawa bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor merupakan barang yang hendak diberi kepada ‘Mem’.

Menurut ahli perniagaan itu, beliau pada mulanya bersetuju menemani Rizal untuk minum kopi di Pavilion Tower sebelum Rizal mengajak menemaninya ke Seri Perdana bersama dua beg bagasi.

Ahmed Farriq memberitahu ketika minum kopi, rakannya itu ada memberitahu beliau sedang menunggu barang tetapi tidak nyatakan barangan apa yang ditunggu.

Menurutnya, Rizal hanya menyatakan barangan itu adalah untuk diberikan kepada seseorang yang dinamakan Lawrence.

Ahmed Farriq juga memberitahu mahkamah, beliau pernah bertemu Lawrence yang bekerja dengan Tan Sri Desmond Kim sebelum itu ketika beliau mengikut Rizal minum dan pada kebiasaannya mereka hanya berbual kosong.

Beliau tidak bertanya lebih mengenai hal barang yang ditunggu rakannya itu kerana menurutnya Rizal kuat berahsia dan tidak akan memberitahu sesiapa berkenaan kerja beliau.

Ahmed Farriq dalam keterangan saksinya berkata, beliau mengikut Rizal dari Menara Pavilion ke bahagian pejabat di Pavilion selepas Rizal menerima satu panggilan telefon.

Katanya, sampai di kawasan itu dia nampak kereta berhenti di lobi pejabat itu sebelum dua atau tiga lelaki yang tidak dikenali keluar dari kereta berkenaan dan ambil dua beg bagasi warna hitam dari dalam kereta dan terus masuk lif untuk naik ke bangunan lobi pejabat Pavilion.

Namun menurut saksi itu, beliau tidak ingat sama ada Rizal ikut naik atau tidak kerana kejadian itu berlaku begitu pantas dan 20 minit kemudian Rizal menemuinya memberitahu ada masalah berlaku dan memaklumkan beliau (Rizal) sendiri perlu menghantar dua beg itu ke Seri Perdana, Putrajaya lapor Sinar Harian.

“Saya hanya setuju ikut Rizal tanpa banyak soal dan tidak mengetahui tujuan sebenar dua beg itu perlu dihantar ke Seri Perdana.

“Saya dan Rizal kemudian menaiki kereta Toyota Alphard dipandu pemandu Rizal, Ariff dan kami masuk di bahagian penumpang belakang,” katanya.

Ahmed Farriq juga turut memberitahu seorang lelaki tidak dikenali masuk ke dalam kenderaan berkenaan dan terus duduk di bahagian penumpang belakang dan ketika itu Rizal kata ada orang eskot mereka.

Dalam perjalanan itu juga Ahmed Farriq berkata, Rizal turut memberitahunya, lelaki berkenaan merupakan seorang Evo iaitu polis dan turut menyatakan dalam dua beg berkenaan berisi wang, namun tidak menyatakan jumlahnya.

Rizal hanya kata beg berisi wang itu hendak diberikan kepada ‘Mem’ dan beliau tidak tanya siapa ‘Mem’ yang dimaksudkan Rizal, namun mengikut pengetahuannya sejak berkawan rapat dengan Rizal pada tahun 2014, Rizal sering guna ‘Mem’ merujuk kepada Datin Seri Rosmah.

Menurut Ahmed Farriq ketika tiba di Seri Perdana, Rizal turun dari kereta dan ketika itu muncul dua lelaki yang tidak dikenali seperti buttler yang memakai pakaian seragam untuk mengambil dua beg daripada bonet kereta.

Beliau berkata, Rizal beritahu beliau hendak jumpa’ ‘Mem’ dan memintanya menunggu dalam kereta dengan Ariff.

Ahmed Farriq menambah selepas 30 minit, beliau nampak Rizal keluar dari kediaman itu dan tidak lagi membawa dua beg berkenaan bersamanya dan terus beritahunya ‘dah settle’ dan mereka terus pulang ke pejabat Yayasan Perdana Ummah di Laman Sri Segambut.

Ketika pemeriksaan semula daripada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berhubung adakah Ahmed Farriq bertanya perihal mengapa Rizal pergi ke kediaman di Seri Perdana, saksi menjawab, beliau hanya tahu apabila Rizal kata hendak berjumpa ‘Mem’.

Gopal Sri Ram: Adakah kenderaan itu menuju ke Seri Perdana?

Ahmed Farriq: Ya betul tuan

Gopal Sri Ram: Apabila anda sebut ‘buttler’ ia datang dari kediaman Seri Perdana itukah?

Ahmed Farriq: Ya betul tuan

Gopal Sri Ram: Adakah Rizal Mansor bawa dua beg bagasi yang dibawa masuk ke kediaman Sri Perdana keluar semula bersamanya?

Ahmed Farriq: Tidak

Gopal Sri Ram: Apabila Rizal menyebut ‘mem’ Adakah dia merujuk kepada tertuduh (Rosmah) dan bukan orang lain?

Ahmed Farriq: Ya betul, mengikut pemahaman saya ya.

Perbicaraan rasuah terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di Sarawak diteruskan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung petang esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");