Perak Hari Ini

Saringan Kedua Akan Dijalankan Terhadap KD Lekiu

IPOH: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Perak bersiap-siaga untuk menjalankan saringan kedua ke atas 179 pegawai dan anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Lekiu tiba di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL), pada 10 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan kesemua warga kapal berkenaan bebas dari wabak koronavirus (Covid-19).

“Pada 12 hingga 18 Februari lalu, kapal ini telah berlabuh di Busan, Korea dan ada penumpang kapal yang masuk ke bandar Busan.

“Mengikut jadual mereka akan tiba di Lumut pada 10 Mac ini dan atas faktor itu kita adakan saringan kedua yang mana pemeriksaan akan dikendalikan Jabatan Kesihatan Perak.

“Kesemua mereka akan dikuarantin di atas kapal sehinggalah keputusan saringan kedua ini diperolehi.

“Kita harap dengan saringan ini tidak akan ada kes baharu berlaku,” katanya kepada media selepas merasmikan Live Surgery Course 2020 anjuran Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di sini, hari ini.

Pada 5 Mac lalu, kesemua mereka yang dalam pelayaran mengiringi PETRONAS Floating Liquefied Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Busan, Korea Selatan ke Perairan Sabah, disahkan negatif Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Sivanesan mengesahkan sehingga kini Perak telah mencatatkan 114 kes yang disyaki dijangkiti Covid-19,

Walau bagaimanapun jelasnya kesemuanya disahkan negatif selepas saringan dilakukan.

Tambah beliau, saringan kepada pelancong di pintu keluar masuk antarabangsa di Pengkalan Hulu dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) juga berjalan lancar tanpa sebarang kes mencurigakan.

“Setakat ini Perak tiada kes, sekiranya ada tular mengatakan wujud kes di negeri ini, itu sama sekali tidak benar,” kata beliau yang merujuk kepada satu kes tular di media sosial yang mendakwa kononnya terdapat dua lelaki dari Teluk Intan yang telah dijangkiti Covid-19.

Mengulas saringan kesihatan di sekolah-sekolah antarabangsa di Perak, beliau berkata, kebiasannya ia dilakukan sekiranya ada laporan terdapat warga sekolah yang kembali dari luar negara terutama negara yang berisiko tinggi.

“Oleh kerana sekolah sebegini ramai warganya luar negara, jadi timbul kebimbangan kalangan ibu bapa kerana ia turut melibatkan kontak-kontak rapat.

“Setakat ini kita belum terima apa-apa laporan kes membabitkan sekolah antarabangsa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");