Membawang Hari Ini
Like

‘Saya hampir bunuh diri’

March 13, 2020
557 Views
0 Comments
4 minutes read
‘Saya hampir bunuh diri’

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri sedih dan tertekan, selepas menerima teguran ibunya, Rozita Ibrahim secara terbuka di laman Instagram, dua hari lalu.

Penyanyi lagu Bobo Di Mana dan Abang Nak Tegur itu berkata, dia merasa seolah-olah tiada siapa berada di sisi menyokong ketika ditimpa ujian.

Menyifatkan minggu lalu menjadi fasa paling sedih dalam hidup selepas dihimpit pelbagai ujian, Aliff berkata, disebabkan perkara yang berlaku dirinya hampir mengambil tindakan di luar kewarasan fikiran.

“Saya hampir mahu bunuh diri akibat terlalu tertekan. Bukan soal mak sahaja, perkara lain yang terjadi seperti satu pakej lengkap.

“Tetapi, macam mana pun, saya sudah meminta maaf dan ampun dengan mak. Saya pergi berjumpa mak dan menceritakan hal sebenar. Kami berpeluk dan menangis bersama.

“Saya tahu bersalah dan menghormati teguran diberikan. Saya tak mahu perkara ini menjadikan saya sebagai anak derhaka, selain enggan netizen memperbesarkan isu ini,” katanya kepada BH Online.

Alif berkata, mungkin berlaku salah faham, tetapi dia tidak menyalahkan ibunya.

“Ini bukan bermaksud cakap mak saya tak betul, cuma saya menghargai tegurannya. Saya berjanji akan mengikut segala nasihatnya.

“Saya juga tidak mahu riak dan akan menjadi anak mendengar kata. Tetapi, lain kali janganlah kutuk saya dalam IG, lebih manis sekiranya dibuat secara berdepan,” katanya.

Terdahulu, Rozita membuat pengakuan terbuka melalui laman sosial mengenai kedegilan dan mahu anaknya berubah. Kesal Aliff terus mencetuskan kontroversi termasuk memuat naik video tangisan ‘darah’ bagi mempromosikan single terbaharu, Rozita mahu Aliff berhenti menagih perhatian ramai dengan aksi memalukan keluarga.

Menyentuh dakwaan memukul dan mencubit anak angkat berusia dua tahun, Aliff enggan mengulas lanjut soal berkenaan.

“Anak-anak saya kini bahagia,” katanya ringkas. Selain itu, Aliff juga menafikan rumah tangga bersama Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid bergolak, selepas tidak lagi mengikuti akaun IG masing-masing.

“Tiada apa-apa berlaku antara kami. Saya dan isteri cukup bahagia melayari hidup bersama,” katanya.

Mengaitkan single terbaharu, Cuba Bahagia sebagai simbolik tidak bahagia bersama keluarganya, Aliff turut menidakkan dakwaan berkenaan.

“Apabila berada dalam tekanan membabitkan kerja, bisnes, netizen dan keluarga, lagu ini menceritakan saya memerlukan seorang yang kuat di sisi saya.

“Selebihnya, biarlah saya simpan kerana tak mahu netizen menuduh saya menagih simpati,” katanya yang ditemui pada sidang media single Cuba Bahagia di Wisma Dherbs, Kota Damansara, pagi tadi.

Cuba Bahagia adalah hasil nukilan Aliff yang menceritakan dirinya yang mahu bahagia seperti orang lain.

“Lagu ini saya tulis ketika sedang bersedih, jadi ia seperti luahan hati. Dahulu waktu susah, saya fikir apabila ada duit, kita akan bahagia. Tetapi, sebenarnya tidak.

“Saya tidak percaya duit bukanlah segala-galanya. Sekarang saya sedar apabila berduit, saya akan hilang banyak benda seperti kawan, masa, privasi dan lama kelamaan, bahagia juga makin berkurangan.

“Saya merasakan makin sukar untuk mendapat bahagia, jadi saya cipta lagu ketika jiwa saya bersedih. Bahagia terlalu mahal, tak boleh dijual beli dengan wang. Itulah yang cuba disampaikan dalam lagu ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, lagu Cuba Bahagia tidak ditujukan kepada sesiapa.

“Jujurnya, saya tak tuju lagu ini pada mana-mana individu. Saya tujukan pada mereka yang sedang mencari kebahagiaan kerana saya tahu pasti ramai berkongsi perasaan yang sama.

“Lagu ini bukan gimik meraih perhatian, sebaliknya hanya luahan rasa,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.