IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata keputusan beliau untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah dilakukan dengan sukarela.
Beliau yang juga Bekas Exco Kerajaan Perak dari PKR itu berkata keputusan itu dibuat pada kira-kira seminggu lalu dan borang beliau masih lagi dalam proses.
“Keputusan ini dilakukan secara sukarela. Ini pilihan saya. Saya merasakan parti ini adalah parti yang terbaik untuk saya sertai bagi meneruskan perjuangan.
“Tidak ada sebarang pujukan, tekanan, atau ugutan. Saya sertai dengan rela hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media khas Menteri Besar Perak berkenaan gabungan Perikatan Nasional bersama Bersatu dalam membentuk kerajaan di Perak.
Beliau merupakan antara empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengumumkan demikian selain daripada Adun Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi.
Selain Abdul Yunus, Ahmad Faizal turut mengumumkan bahawa Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi juga kini menyertai Bersatu.
Abdul Yunus sebelum ini sering digembar-gembur akan meninggalkan PKR kerana dilihat cenderong menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.
Dalam pada itu beliau enggan mengulas lanjut berkenaan tindakan membayar RM10 juta kepada PKR kerana bertindak keluar parti yang bakal dihadapi beliau.
Beliau juga berkata akan memaklumkan keputusannya itu kepada PKR dalam masa terdekat.
Ditanya sekiranya beliau akan digelar pengkhianat mandat rakyat jawabnya: “Isu pengkhianatan ini tidak revelan.”