Berita Hari Ini
Like

Semua pelawat wajib lalui pemeriksaan suhu badan di Istana Selangor

March 28, 2020
317 Views
0 Comments
1 minute read
Semua pelawat wajib lalui pemeriksaan suhu badan di Istana Selangor

PEJABAT Sultan Selangor mewajibkan semua pelawat yang mempunyai urusan di tiga istana diwajibkan melalui pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Selangor, Sawaluddin Md Nor, berkata tiga unit pengesan suhu ditempatkan di pintu masuk utama Istana Alam Shah di Klang, Istana Bukit Kayangan dan Istana Mestika bagi tujuan pemeriksaan itu.

“Semua pelawat dan kontraktor yang bertugas di kawasan istana mesti terlebih dahulu diperiksa di pintu masuk utama bagi mengenal pasti tahap kesihatan mereka. Ini penting untuk mengetahui jika terdapat simptom-simptom yang menjurus kepada wabak Covid-19” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial rasmi, Selangor Royal Office, hari ini.

Jelas beliau, semua kakitangan istana juga telah menjalani pemeriksaan wajib pada 9 Mac lepas dan keputusan ujian terkumpul adalah negatif.

Menurutnya, pihaknya juga membekalkan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman kepada kakitangan yang dikehendaki bertugas secara bergilir-gilir di bahagian tertentu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Kawasan perumahan kakitangan istana di Kampung Seri Alam, Klang turut dikawal rapi oleh anggota polis. Pihak kami turut menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan yang mahu semua kakitangan khususnya yang tinggal di kawasan Kampung Seri Alam supaya duduk di rumah dan tidak merayau ke luar kawasan bagi mengelak risiko dijangkiti wabak berbahaya itu,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.