Berita Hari Ini

Sepi, Hening Di Masjid Negara

KUALA LUMPUR – Buat kali pertama kali semua masjid di seluruh negara menghentikan solat Jumaat hari ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lalu.

Arahan itu bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus koronavirus atau Covid-19 sepanjang dua minggu ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Masjid Negara di sini mendapati suasana sepi dan hening tanpa kelibat jemaah kecuali mereka yang singgah menunaikan solat Zohor.

Malah, aliran trafik juga lengang di hadapan Masjid Negara yang kebiasaan cukup sesak.

Keadaan ini ternyata sangat berbeza dengan senario biasa yang  mana masjid itu tidak pernah putus menerima pengunjung dalam dan luar negara, selain terdapat gerai jualan yang menambah kemeriahannya.

Sementara itu, di pintu masuk utama masjid itu dapat dilihat papan tanda yang bertulis: ” Masjid Negara akan ditutup dan semua aktiviti serta program seperti Solat Berjemaah, Solat Jumaat, Ceramah, Kualiah, Lawatan Dalam dan Luar Negara dan sebagainya ditangguhkan.”

Seorang jemaah, Haniza Mohd. Abdul Shakur, 41, yang ditemui berkata, perasaannya terharu bercampur sedih melihat suasana masjid yang sepi hari ini.

Bagaimanapun dia akur dengan penutupan masjid kerana ia dilaksanakan mengikut fatwa demi kebaikan bersama.

“Saya berharap wabak Covid-19 cepat berlalu dan yakin apa yang berlaku ada hikmahnya.

“Selama ini pun kita bebas ke masjid dan berharap menambah kerinduan untuk dibuka semula,” kata yang datang dari Ampang.

Sementara itu, arahan menghentikan solat Jumaat hari ini selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes dengan negara mencatatkan dua kematian pertama pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");