Berita Hari Ini

SOP Lebih Tegas Akan Dikeluarkan MKN Hadapi Covid-19

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih tegas tidak lama lagi dan ia dibayangkan oleh menteri kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Satu lagi yang kita bincang tadi adalah mengenai SOP baru apabila selepas fasa kedua ini diperkenalkan. Fasa pertama kita lihat walaupun ada sekatan Perintah Kawalan Pergerakan tetapi banyak perkara-perkara yang seolah-olah dibenarkan, ada pengecualian-pengecualian, MKN telah diminta untuk memperkenalkan dan mengeluarkan SOP yang baru yang mana peraturannya akan menjadi lebih tegas daripada peraturan yang ada hari ini.

“Jadi mungkin selepas ini banyak sekatan-sekatan akan dikenakan samaada dari segi cara pembelian membeli makanan dan sebagainya yang saya juga tidak boleh umumkan lagi kerana MKN akan menperkenalkan dengan SOP yang lebih tegas bagi memastikan langkah yang kita kenalkan ini berjaya untuk menyekat penularan Covid-19,” ujarnya dalam kenyataannya di Facebook hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan memaklumkan polis telah memulakan tindakan polis tegas dengan memulakan penahanan kepada mereka yang ingkar.

“Pihak polis juga akan menumpukan di kawasan-kawasan tumpuan iaitu kawasan zon merah seperti di Masjid Sri Petaling, di Pasar Borong Selayang dan sebagainya.

“Selain daripada tindakan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan dan juga pihak polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengawal Covid-19 dari terus merebak, kita membuat keputusan hari ini bahawa proses pembersihan dan pencucian nyah-cemar atau pun ‘sanitisation/disinfection’ akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga bomba dan penyelamat.

“Mungkin ATM juga akan terlibat bagi me-nyah cemar di kawasan-kawasan premis awam, dan kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan zon merah,” katanya lagi.

Polis juga akan dibekalkan dengan head ‘thermometer’ untuk mengesan suhu di setiap sekatan jalan raya. Pihak NADMA diminta untuk mendapatkan ‘thermometer’ tersebut untuk dibekalkan kepada pihak polis.

“Begitu juga dengan topeng muka, kita akan berikan kepada pihak ‘frontliner’ bukan sahaja di hospital, tetapi pihak polis, ATM, RELA, APM dan sebagainya,” katanya.

Mengenai Tabung Sumbangan Covid-19 pihaknya telah menerima jumlah sumbangan sebanyak RM8.129 juta dan 70 peratus kan digunakan untuk peringkat awal ini iaitu sebanyak RM5.68 juta untuk membantu rakyat terkesan terutamanya golongan miskin yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan.- MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");