Berita Hari Ini

‘Takkan jam 4 petang masih makan’ – Zulkifli

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan memperkenalkan cara kerja mengikut sistem piramid dan menitikberatkan konsep masa ketika bertugas.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu juga menegaskan, beliau tidak suka penjawat awam di bawah jabatan dan agensi kementerian mengabaikan waktu ketika menjalankan tugas.

Sehubungan itu, katanya, ketua-ketua jabatan perlu menyediakan laporan setiap minggu kepadanya mengenai tugas kakitangan bawahan supaya semua bekerja secara profesional.

“Saya suka kerja secara piramid, saya bukan ‘one man show’ (kerja berseorangan). Mulai sekarang juga, setiap ketua perlu ada laporan mingguan bagi kakitangan bawahannya.

“Bos atau ketua unit perlu periksa kakitangan masing-masing. Jam 9 pagi mereka di mana, jam 3 petang mereka di mana, takkan jam 4 petang masih makan lagi. Ini budaya tak elok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan tausiyah am (ceramah agama) kepada kakitangan jabatan dan agensi agama di bawah kementerian itu di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Yang turut hadir adalah timbalannya, Ahmad Marzuki Shaary dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut cabaran-cabaran berkaitan masa, bekas mufti itu berkata, berdasarkan apa yang dilihat dan diperhatikannya, ada kakitangan awam banyak membazirkan waktu.

“Kadang-kadang mereka buat kerja tidak penting, hilang waktu bertugas, tempat duduk kosong, anak buah tidak dapat dikesan oleh ketua dan sebagainya. Ini konsep tidak sihat. Padahal kalau kita datang awal, buat kerja awal, kita dapat menyiapkan kerja lebih awal.

“Perkara ini penting kerana nikmat yang kita miliki adalah untuk rakyat dan masa itu pula bersifat keemasan,” katanya.

Zulkifli turut menjelaskan, beliau tidak dapat masuk awal ke pejabat pada hari pertama tugasan rasminya sebagai menteri semalam kerana perlu menghadiri dan menyelesaikan beberapa perkara berkaitan pelantikannya ke dalam Kabinet.

“Semalam saya tak masuk pejabat, sengaja saya masuk hari ini sebab nak solat sunat dhuha dan solat sunat hajat dengan tuan-tuan,” katanya.

Mengenai perancangan terdekatnya yang lain, Zulkifli memaklumkan, beliau akan memperkenalkan fail meja, iaitu sebaik kakitangan masuk pejabat, mereka sudah tahu apa bidang kerja dan tugasan yang perlu dilakukan mengikut kelayakan masing-masing.

“Saya mahu kakitangan di jabatan dan agensi agama ini setaraf dengan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerja dengan profesional. Sebolehnya, saya mahu mengelak stigma buah mulut orang ramai bahawa orang agama, agensi agama ini lemah, tidak stabil (dari segi kerja),” katanya.

Beliau turut menjelaskan, konsep rahmah di bawah pentadbirannya ialah kasih sayang, bukan membalas dendam kerana amanah itu lebih tinggi dan menjadi pakaian bagi setiap umat Islam.

“Saya juga akan beri hadiah kepada pekerja yang 200 peratus cemerlang dan hadiah berkenaan akan diberikan kepada semua peringkat jawatan termasuk yang berjawatan rendah, asalkan layak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");