Berita Hari Ini

Tentera takkan bawa senjata, kata ketua polis PJ

Anggota tentera yang membantu polis dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan tidak akan membawa senjata mereka, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika bercakap kepada pemberita berkata ia merupakan arahan terbaru Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada anggotanya yang bertugas di lapangan.

“Kita dimaklumkan bahawa ada arahan terbaru, diorang tak perlu bawa senjata api.

“Senjata api akan disimpan dalam simpanan polis di mana tentera dikerahkan,” kata beliau.

Nik Ezanee berkata demikian kepada pemberita petang ini ketika ditemui selepas majlis menyambut pasukan tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja, yang tiba  untuk membantu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Awal hari ini, Menteri Pertahanan Ismail Sabri dalam satu sidang akhbar menafikan khabar angin bahawa tentera telah mengambil alih tugas polis untuk menguatkuasakan perintah itu.

Beliau berkata, banyak cerita tidak benar direka pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan ketakutan orang ramai.

Sementara itu, berhubung peranan tentera, Nik Ezanee berkata buat masa ini, mereka akan membantu tugas polis dalam mengendalikan sekatan jalan raya di sekitar daerah ini.

“Pada masa depan bergantung situasi, mungkin akan buat penugasan lain,” katanya.

Mengenai keadaan keseluruhan di daerah itu sejak perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa pada Rabu, beliau berkata tahap pematuhan orang ramai bertambah baik.

Kadar kes jenayah juga berkurangan kepada kira-kira 40 peratus, tambah Nik Ezanee.

Katanya, meskipun berlaku beberapa kes rompakan apabila perniagaan diarahkan tutup, namun ia bukan pada peringkat membimbangkan.

Terdahulu pada majlis yang diadakan di hadapan dewan serbaguna Taman Dato Harun di Petaling Jaya, Nik Ezanee melahirkan penghargaan terhadap anggota tentera yang berkorban tenaga untuk membantu polis menguatkuasakan undang-undang.

Beliau juga mengingatkan bahawa mereka tidak berdepan musuh negara, tetapi rakan-rakan senegara.

“Saya selaku pegawai pemerintah bertaggungjawab bagi mengingat kepada kamu semua bahawa kita bukan berhadapan dengan musuh negara.

“Kita akan berhadapan ahli-ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, doktor, posman, peniaga dan setiap lapisan masyarakat yang ada di negara ini.

“Mereka bukan musuh negara tetapi rakyat negara tercinta Malaysia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");