Panasnya Hari Ini

Terdapat Pengeluaran Wang RM6.5 Juta Daripada Akaun Bank Saidi – Saksi

KUALA LUMPUR – Seorang penolong pengurus bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin telah mengeluarkan wang berjumlah RM6.5 juta daripada akaun bank miliknya melalui dua transaksi berasingan pada 2016 dan 2017.

Low Ai Lin, 52, yang berkhidmat di Cawangan Maybank Medan Tuanku di sini, sejak 1992 berkata, terdapat pengeluaran wang secara tunai berjumlah RM5 juta daripada akaun Maybank Islamic milik Saidi pada 20 Dis 2016.

“Saya mengesahkan bahawa urusan pengeluaran wang tunai tersebut dibuat melalui cek bernombor 198979 dan saya juga mengesahkan urusan itu dibuat melalui kaunter cawangan Maybank,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-12 perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan projek solar hibrid di Sarawak, lapor Bernama.

Saksi pendakwaan ke-11 itu turut mengesahkan terdapat satu lagi transaksi pengeluaran wang tunai berjumlah RM1.5 juta daripada akaun sama milik Saidi melalui cek bernombor 169589 pada 7 Sept 2017.

Low dalam pada itu mengesahkan terdapat kemasukan wang RM6 juta ke dalam akaun bank milik Saidi melalui pemindahan daripada akaun bank tempatan lain pada 20 Dis 2016, iaitu sebelum wang RM5 juta dikeluarkan daripada akaun berkenaan pada hari sama.

“Hal ini kerana terdapat catatan ‘Credit Inward RENTAS Jepak Holdings Sdn*R161220809450S Trsf’,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam.

Ketika merujuk kepada penyata akaun Maybank Islamic milik Saidi, saksi wanita itu mengesahkan bahawa akaun berkenaan sangat aktif.

“Penyata akaun tersebut adalah dokumen tepat bagi menggambarkan transaksi keluar masuk wang bagi akaun berkenaan.

“Berdasarkan penyata akaun itu juga, saya mengesahkan bahawa baki pemula akaun Saidi adalah sebanyak RM626,952.81,” katanya.

Low memaklumkan bahawa selepas membuat semakan melalui sistem di Maybank itu pada 18 Julai 2018, baki terakhir dalam akaun Saidi adalah sebanyak RM416.26.

Menceritakan mengenai pembukaan akaun Saidi, Low memaklumkan Saidi telah membuka akaun semasa jenis persendirian di Maybank Cawangan Medan Tuanku pada 27 Mac 2009.

Namun, saksi itu tidak mengetahui siapa pegawai bank yang menguruskan pembukaan akaun tersebut kerana tiada tandatangan diturunkan oleh individu terbabit.

“Kebiasaannya, pihak yang menguruskan pembukaan akaun akan menurunkan tandatangan pada borang pembukaan akaun,” katanya.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");