Berita Hari Ini

Tommy Thomas letak jawatan kerana perubahan pemerintahan politik

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, mengambil keputusan meletak jawatan pada 28 Februari lalu, susulan perubahan pemerintahan politik di negara ini.

Bercakap kepada portal berita FMT, beliau mengakui penggal pentadbirannya sepatutnya berakhir Jun depan, namun percaturan untuk mengundurkan diri adalah selari status jawatannya yang dibuat secara lantikan politik.

“Jawatan sebagai AG (Peguam Negara) adalah menerusi lantikan politik yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila Perdana Menteri meletak jawatan, saya juga tertakluk untuk berbuat demikian kerana dilantik oleh beliau, malah ia penting untuk memberi laluan kepada Perdana Menteri baharu memilih calon baharu menyandang tugas Peguam Negara,” katanya, hari ini.

Tommy yang dilantik menyandang jawatan Peguam Negara pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun, dilaporkan nekad menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Dr Mahathir pada 28 Februari lalu.

Meskipun dihujani persoalan mengenai keputusan meletak jawatan secara tiba-tiba, Tommy berkata, pendekatan itu selari amalan di United Kingdom dan pelbagai negara lain yang mengamalkan dasar demokrasi matang.

Mengenai perancangan masa depan, beliau bercadang berehat buat sementara waktu selepas menyandang jawatan Peguam Negara lebih setahun, namun menyifatkan pengalaman singkat itu sebagai peluang berkhidmat kepada negara dan akan sentiasa dikenang.

“Saya sudah cuba sebaik mungkin untuk menegakkan keadilan dan memerangi ketidakadilan sehingga hari terakhir menggalas tanggungjawab sebagai Peguam Negara.

“Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk berkhidmat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");