Berita Hari Ini

Warga Malaysia Kerja Di Singapura Mohon Buka Sempadan

17 Mac lalu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan warga Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja, tidak lagi boleh berbuat demikian mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini.

Pengumuman itu mencetuskan kebimbangan kepada warga Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 43 tahun dan isterinya yang sudah bekerja di sektor penyelenggaraan di Singapura selama lebih tujuh tahun.

“Kami terkejut dengan pengumuman itu. Sebab, sehingga pengumuman itu kami hanya diberitahu bahawa hanya rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Singapura dilarang masuk bermula 18 Mac.

“Perutusan khas oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) sehari sebelumnya juga tidak menyentuh berhubung warga Malaysia yang bekerja di Singapura, manakala, kerajaan Singapura mengesahkan bahawa kami dibenarkan ulang-alik seperti biasa.

“Tiba-tiba ada pengumuman baru di tengah hari. Masa yang diberikan kepada kami hanya kurang 12 jam sahaja,” kata Ismail ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelasnya, ketika pengumuman itu dibuat, dia bersama isterinya telah pun berada di Singapura.

Masa suntuk

“Kami terkejut dan panik. Kemudian, majikan mengadakan mesyuarat memberitahu kami bahawa mereka akan menyediakan tempat tinggal dengan syarat kami perlu masuk balik sebelum tengah malam 17 Mac.

“Terpaksa lah. Kami keluar dari Singapura balik ke Johor mengemaskan barang keperluan sebelum bergegas kembali ke sempadan yang telah pun mengalami sesak lalu lintas yang teruk.

Menurut Ismail, apa yang lebih sedih adalah beliau dan isterinya tidak dapat menemui anak mereka yang baru berusia enam tahun kerana terlalu sibuk dengan urusan untuk masuk semula ke Singapura.

“Kebiasaanya, saya hantar anak saya di rumah ibu saya. Selepas waktu kerja pergi sambutnya. Tapi, hari itu kami tak sempat kata ‘bye’. Setiap kali saya buat panggilan video dari Singapura dia menangis,” kata Ismail sambil meminta Kerajaan Malaysia supaya membuka semula sempadan.

“Kami tidak tahu kalau perintah ini dilanjutkan. Tidak masuk kuarantin 14 hari selepas kami balik dari Singapura.

“Saya rayu kepada kerajaan supaya membuka semula sempadan.

“Sekurang-kurangnya membenarkan kami masuk tiga hari sekali. Pegawai kesihatan boleh membuat pemeriksaan suhu badan dan sebagainya. Sekiranya terdapat simptom kami boleh ditahan untuk ujian lanjutan,” katanya.

Terdapat rakan-rakan yang terpaksa meninggalkan ibu dan bapa warga emas, isteri yang mengandung dan anak-anak masih kecil di Malaysia, jelasnya lagi.

Perdana menteri ketika mengumumkan perintah kawalan pergerakan menyenaraikan langkah-langkah untuk mengehadkan pergerakan awam, seperti melarang perhimpunan massa dan penutupan sementara premis perniagaan melainkan pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Warga Malaysia dilarang ke luar negara, manakala mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela.

Sementara itu, seorang lagi warga Malaysia yang mencari rezeki di Singapura, Thevi, 39 tahun berkata dirinya agak bernasib baik selepas majikan membenarkannya bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, kata Thevi suaminya pula diarah tinggal di Singapura sehingga tamat kawalan pergerakan.

“Majikan kami menyediakan tempat tinggal untuk pekerjanya dan juga diberi pilihan bagi sektor pengurusan.

“Tapi, ada majikan-majikan yang lain tidak beri banyak pilihan kepada pekerja mereka.

“Mereka diberi pilihan sama ada ambil cuti tahunan, cuti tanpa gaji atau kerja dari Singapura dengan perlu menyediakan tempat tinggal dan sebagainya dengan sendiri,” katanya.

Katanya lagi, ramai orang tidak dapat masuk ke Singapura pada 17 Mac, kerana pengumuman kerajaan Malaysia dikeluarkan agak lewat dan masa suntuk untuk membuat persediaan.

“Kesesakan lalu lintas pada hari itu lebih tiga kali ganda daripada biasa. Jadi, saya boleh pasti ramai yang tidak dapat masuk mungkin akan dipotong gaji atau kehilangan kerja. Mereka semua ada komitmen bulanan seperti yang lain.

“Jadi, saya harap kerajaan kita akan membuka semula sempadan agar memberi peluang kepada pekerja-pekerja ini bersambung kerja di Singapura.

Menurut Thevi lagi, sejak penularan wabak Covid-19, dia sentiasa diminta membuat ujian saringan di sempadan Singapura.

“Setiap hari, saya dan rakan-rakan diminta ujian saringan di Singapura. Sekiranya, mendapati suhu badan tinggi dan ada simptom lain maka orang itu akan diasingkan untuk ujian kesihatan lanjut. Ini kaedah dilakukan di Singapura sejak awal Februari.

“Tapi, di Malaysia boleh katakan tidak ada ujian saringan secara ‘regular’. Kadang-kadang tidak ada pegawai langsung di kaunter ujian saringan.

“Jadi, saya berpendapat bahawa kerajaan masih boleh mengawal pergerakan (tahap kesihatan) kami dengan mengadakan ujian saringan tanpa menutup sempadan untuk mengekang penyebaran wabak.

Pada Rabu, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad (gambar, bawah) berkata beliau akan memohon pelepasan khas supaya perintah kawalan pergerakan dikecualikan kepada golongan tertentu.

Antara kumpulan yang dicadangkan bagi pengecualian itu adalah rakyat Malaysia yang memiliki pas kerja dikeluarkan Malaysia dan Singapura, kargo komersial yang membawa barang keperluan, pemandu kenderaan logistik, pemandu seperti bas pekerja, juruteknik dan pakar profesional.

Turut dicadangkan untuk dikecualikan termasuk pelajar, warga asing dan rakyat Singapura yang menetap di Johor Bahru.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang bekerja di sektor perhotelan di Singapura dan hanya mahu dikenali sebagai Steven, 29 menyatakan rasa sedih dengan rakan-rakan yang tidak dapat masuk ke Singapura.

Ketika dihubungi, Steven berkata dia berada di Kuala Lumpur pada 17 Mac sebelum mendapat tahu mengenai pengumuman imigresen itu.

“Saya terpaksa ke TBS (Terminal Bersepadu Selatan) untuk membeli tiket ke Singapura dan sampai ke sempadan pada pukul 11.30 malam.

“Saya tengok ramai rakyat Malaysia berjalan merentasi sempadan Malaysia ke Singapura kerana terlalu panik. Mujurlah, saya dari sektor hotel tidak ada masalah untuk penginapan dan makanan di Singapura.

“Tetapi, saya berasa sedih dan kesian dengan rakan-rakan yang lain khususnya pemegang pas kerja kerana gajinya kurang daripada S$1800.”

“Mereka ini kebanyakannya tidak diberi tempat penginapan dan terpaksa tidur di MRT dan tumpang di rumah kawan. Ini tidak termasuk perbelanjaan makanan dan yang lain.

Steven yang berkerja di Singapura lebih 10 tahun berkata pekerja yang memegang permit S-Pass dan E-Pass akan mungkin hilang gaji setengah bulan selepas diminta mengambil cuti tanpa gaji dan juga mereka yang tidak dapat masuk ke Singapura.

“Harap kerajaan kita membuat yang terbaik,” tegasnya.

Dianggarkan kira-kira 400,000 warga Malaysia mencari nafkah di Singapura dengan 250,000 berulang-alik setiap hari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");