Berita Hari Ini

Wisma Putra Beroperasi Seperti Biasa

PUTRAJAYA: Kementerian Luar akan beroperasi seperti biasa walaupun kerajaan sudah mengumumkan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan bermula tengah malam ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya sudah mengarahkan Wisma Putra beroperasi seperti biasa biarpun perlu dilaksanakan dari rumah, dalam talian atau apa sahaja cara.

Katanya, perkara itu penting demi memastikan fokus dan perancangan Wisma Putra berkaitan penularan wabak COVID-19 tidak akan terganggu.

“Rakyat kita di Itali dan Iran adalah tumpuan utama kementerian sekarang. Dan hari ini, saya juga arah Wisma Putra melihat kepada rakyat kita Amerika Syarikat.

“Selain itu, sekali lagi saya ingatkan rakyat Malaysia di negara terjejas supaya berdaftar dan sentiasa berhubung dengan pihak Kedutaan kita bagi memudahkan untuk sesi pemantauan serta hulur bantuan konsular,” katanya menerusi video yang dikongsi di laman Facebook rasminya miliknya di sini hari ini, lapor BN Online.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut berterima kasih kepada seluruh warga Wisma Putra termasuk Perwakilan Malaysia di luar negara atas kesungguhan sepanjang krisis ini.

“Kepada rakyat dalam negara pula, saya harap semua patuh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Saya juga menyeru dan merayu supaya kita menjaga keselamatan dan kesihatan.

“Kita mesti perangi wabak COVID-19 ini bersama-sama. Kita doakan semoga wabak ini segera berakhir,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, rakyat Malaysia di Iran dan Itali dijadual dibawa pulang minggu ini berikutan COVID-19 yang semakin meruncing di negara berkenaan.

Sebanyak 48 rakyat Malaysia di Iran dan 79 di Itali sudah menyatakan persetujuan untuk pulang ke negara ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");