IPOH: Kira-kira 100 buah rumah di beberapa kampung di sekitar Kampung Seri Klebang dan Kampung Chepor Dalam, dekat sini mengalami kerosakkan dalam kejadian ribut, beberapa jam sebelum waktu berbuka petang tadi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata walau bagaimanapun jumlah kerosakkan masih lagi dalam siasatan.
“Setakat maklumat yang diterima, sebanyak dua keluarga yang perlu dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Mungkin rumah mengalami kerosakkan teruk.
“Kita akan mendapatkan tempat untuk mereka. Sekarang ini mungkin kita akan memindahkan mereka di Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Klebang.
“Namun sekiranya tidak ramai mangsa yang terkesan, saya akan cuba usaha mendapatkan mereka homestay.
“Jika malam ini mereka terpaksa berpindah ke sekolah tersebut, keesokkan harinya kita akan mencarikan homestay untuk mereka. Namun ia sekiranya jumlah mangsa tidak ramai,” kata beliau.
Selain itu ujarnya, prosedur operasi standard (SOP) dalam menguruskan bencana di Perak akan lebih diperketatkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Klebang, dekat sini, malam tadi.
Turut meninjau keadaan, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kinta, Halizah Sipun dan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta, Kapten Muhammed Ameen Salleh Mura.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata pihaknya akan mengagihkan sekitar 500 ke 600 juadah bersahur kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan kejadian ribut tersebut, petang tadi.
“Pejabat Adun Manjoi akan mengagihkan bekalan sahur kepada mereka. Jika ada yang ditempatkan di mana-mana pusat penempatan, kita akan edarkan di situ. Jika ada yang kekal di rumah, kota akan tetap edarkan juga,” katanya.
Dalam pada itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Chepor Dalam Seri Klebang, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkataMasjid Al-Amaniah At-Taiyyibah, Kampung Seri Klebang, turut terkesan dengan kejadian ribut.
Katanya menara telekomunikasi di masjid itu turut tumbang dan menghempap bangunan homestay dalam kawasan sama.
“Homestay itu baru sahaja siap dibina dan masih belum digunakan. Anggaran kerugian mencecah RM50,000. Kejadian itu juga tidak melibatkan kerosakkan ruang solat masjid,” ujarnya.
Selain itu, menurut beliau rumahnya turut terkesan dalam kejadian ribut yang mana bumbung di bahagian belakang rumahnya diterbangkan angin.