KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 kes penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didakwa di mahkamah setakat ini.
Memetik BH Online, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebanyak 238 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19 dibuka hingga hari ini berbanding 237 kertas siasatan semalam.
“Daripada jumlah itu sebanyak 170 masih dalam siasatan, manakala 24 kes didakwa di mahkamah dan 13 mengaku salah. Sebanyak 11 kes diberikan notis amaran.
“Orang ramai boleh menyemak kesahihan berita melalui portal sebenarnya.my. Kerajaan memberi peringatan kepada rakyat untuk berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.
“Tidak pasti, jangan kongsi. Pihak PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu,” katanya di Putrajaya, hari ini.