IPOH: Setakat ini seramai 35 peniaga dan pengusaha makanan di seluruh Bandaraya Ipoh menyertai ‘Ramadan e-Village’ yang diusahakan Ipoh Central Kitchen di Restoran Simpang Tiga, dekat sini.
Inisiatif tersebut diambil sebagai menggantikan konsep Bazar Ramadan yang tidak dibenarkan beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.
Menurut Koordinatornya, Mohd Iskandar Abdul Rahman, ‘Ramadan e-Village’ beroperasi sebagai tempat pengumpulan makanan berbuka puasa yang mana ia kemudiannya akan dijual kepada orang ramai.
“Konsep ‘Ramadan e-Village’ ini ialah kita kumpulkan pengusaha yang hendak menjual juadah berbuka namun tiada tempat untuk berniaga, maka kami kumpulkan di sini.
“Pada awalnya, kami mengambil 12 peniaga untuk mereka menempatkan makanan yang hendak dijual di sini dan kita tolong menjualkannya.
“Selain itu ‘Ramadan e-Village’ turut berkonsepkan pengambilan makanan secara pandu lalu mahupun pembayaran tunai semasa atau cash on delivery.
“Kami juga ada berdaftar dengan SMART Iftar yang diusahakan kerajaan negeri dengan kerjasama Foodpanda dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya lagi sehingga kini lebih 100 juadah makanan berbuka puasa yang akan mula dijual pada 1 Ramadan ini dan antara juadahnya ialah martabak, ‘roti john’, nasi tomato, aneka lauk pauk, kuih muih dan sebagainya.
“Bagi pembayaran tunai semasa, pelanggan digalakkan untuk membuat pemesanan makanan dalam sehari sebelum supaya kami dapat menyusun proses penghantaran menjadi lancar sebelum tiba waktu berbuka puasa.
“Sementara bagi pelanggan yang mahu mengambil makanan secara pandu lalu, pesanan mula dibuka pada jam dua petang,” ujarnya.
Katanya lagi caj penghantaran akan dikenakan sebanyak RM5 di sekitar Ipoh dan RM7 ke RM10 bagi di luar Ipoh, bergantung kepada lokasi.
Sementara itu Mohd Iskandar turut memaklumkan Ipoh Central Kitchen turut menyediakan platform bagi mana-mana badan korporat atau agensi kerajaan yang ingin menyumbang makanan kepada golongan yang memerlukan.
“Maklumat lanjut boleh lawati laman Facebook Ipoh Central Kitchen atau ‘Warga Simpang Tiga Ipoh’,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ipoh Central Kitchen bertempat di Restoran Simpang Tiga, di sini, hari ini.
Terdahulu Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hadir ke Ipoh Central Kitchen dan merasmikan pelancaran ‘Ramadan e-Village’.
Mengulas tentang inisiatif tersebut, Ahmad Faizal menyeru agar mana-mana anak mudah di negeri ini yang ingin menambah pendapatan supaya boleh berdaftar dengan Ipoh Central Kitchen sebagai penghantar makanan.
Pada masa sama beliau berkata Ipoh Central Kitchen turut terlibat dalam penyediaan makanan kepada petugas barisan hadapan dan di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak.
“Bagi pihak kerajaan negeri saya ingin mengucapkan penghargaan kepada yang terlibat dalam Ipoh Central Kitchen antaranya, Iskandar Polo Club Equestrian Team; Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP); Ipoh Bikers, Bersatu Tambun, Bersatu Ipoh Timor, Cucu Wan Cafe, Aabta Perak dan Raja Datuk Seri Eleena Almarhum Sultan Azlan Shah,” katanya.