Berita Hari Ini

Bank Negara Sumbang RM3.5 Bilion Dividen Kepada Kerajaan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyumbang RM3.5 bilion daripada keuntungan bersihnya pada tahun kewangan 2019 sebagai dividen kepada kerajaan, lebih tinggi berbanding RM2.5 bilion pada 2018.

Bank pusat itu dalam Laporan Tahunan 2019, berkata pada tahun lalu ia menjana keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM8.926 bilion, lebih tinggi berbanding RM7.521 bilion pada tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah ini, sejumlah RM5.4 bilion (2018: RM5 bilion) dipindahkan ke rizab risiko,” kata laporan itu yang disiarkan bersama dua lagi laporan rasmi lain iaitu Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019.

Rizab risiko itu bertindak sebagai penampan kewangan yang penting terhadap kerugian yang tidak dijangka, yang mana mungkin timbul akibat keadaan pasaran tidak menguntungkan di luar kawalan.

Ia, katanya, termasuk pergerakan kadar faedah di Amerika Syarikat dan ekonomi maju yang lain; turun naik dalam pasaran tukaran asing dan ekuiti global.

Bank juga jelasnya, terdedah kepada turun naik tukaran asing terutamanya disebabkan oleh pelaburan rizab antarabangsa dalam mata wang asing, sementara liabiliti bank pusat itu berada dalam ringgit.

Pada 2019, Bank Negara meraih pendapatan sebanyak RM11.129 bilion, lebih tinggi berbanding RM9.334 bilion pada 2018, selepas mengambil kira kos yang berkaitan dengan pengurusan portfolio rizab antarabangsa dan menjalankan operasi kewangan.

“Walaupun Bank Negara adalah badan berkanun, namun kami tidak bergantung kepada dana awam daripada kerajaan untuk menyokong operasi harian. Sebaliknya operasi kami dibiayai oleh pendapatan yang dihasilkan daripada pelaburan kami rizab antarabangsa negara.

“Untuk itu, kami menanggung perbelanjaan mengurus dan mentadbir operasi harian kami (perbelanjaan berulang) dan perbelanjaan untuk membiayai projek pembangunan dan jangka panjang sejajar dengan objek dan fungsi utama kami (perbelanjaan pembangunan).

“Ini termasuk perbelanjaan yang dilakukan untuk operasi mata wang dan untuk mengekalkan infrastruktur pembayaran negara. Pada tahun 2019, perbelanjaan ini berjumlah RM2.161 bilion (2018: RM1.772 bilion),” kata laporan itu.

Bank pusat itu berkata, asetnya setakat 31 Disember 2019 adalah berjumlah RM451.6 bilion, lebih tinggi berbanding RM447.637 bilion), dengan portfolio rizab antarabangsa sebanyak RM424.09 bilion (2018: RM419.572 bilion) yang mana adalah sebahagian besar atau 94 peratus daripada asetnya.

Liabilitinya pula adalah sebahagian besarnya daripada deposit oleh institusi kewangan (RM163.714 bilion) dan mata wang dalam edaran (RM114.097) memetik BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");