KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak memberi kesan kepada warga pelarian atau rakyat Rohingya yang ingin menyambut bulan Ramadan.
Ketua Komuniti Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor, Rafik Shah Mohd Ismail memaklumkan, tradisi yang diamalkan pihaknya sejak tujuh tahun kebelakangan ini mungkin tidak dapat diteruskan pada tahun ini.
“Sejak tujuh tahun yang lepas, kami memasak juadah berbuka puasa untuk 700 keluarga.
“Pada tahun ini, terdapat para penyumbang yang ingin teruskan tradisi itu. Walaupun mereka tahu keadaan COVID-19 ini, mereka minta supaya saya teruskan, tetapi saya terpaksa mohon maaf.
“Ini bukan masa yang sesuai. Kalau ada rezeki, kita teruskan tahun akan datang. Keputusan ini bagi mengelakkan supaya tiada lagi kluster baharu yang berpunca dari COVID-19,
Human Aid Selangor yang bertapak di Selayang sejak tujuh tahun lalu sudah melakukan pengedaran bantuan makanan untuk pelarian dan rakyat tidak berkemampuan.
Antara objektif utama ialah dengan memberi bantuan makanan kerana ia merupakan satu khidmat dakwah, di mana ada sebahagiannya mengalami masalah berkaitan akidah akibat kekangan hidup susulan tekanan yang diterima dari tentera Myanmar yang begitu zalim terhadap umat Islam.
“Menerusi usaha bantuan ini juga, kami akan duduk bersama mereka dan memberi dakwah kepada mereka agar tidak meninggalkan solat, menjaga rukun iman dan rukun Islam serta mendidik mereka agar taat kepada undang-undang di Malaysia.
“Kami di Human Aid Selangor juga berusaha untuk membersihkan nama baik mereka kerana pastinya orang ramai mempunyai tanggapan tidak enak terhadap warga Rohingya ini.
“Ada segelintir mereka ini terlalu baik dan amanah, bagaimanapun ada juga yang berperangai kurang baik dan saya tidak dapat menafikannya.
“Mereka juga adalah manusia yang perlukan pembelaan dan kasih sayang seperti manusia-manusia lain, jadi itu antara inisiatif kami lakukan,” jelas Rafik.
Menjelang bulan Ramadan ini, beliau memberitahu bahawa pihaknya memerlukan dana sebanyak RM210,000 bagi meringankan beban mereka mengusahakan satu bentuk bantuan kepada keluarga dan kanak-kanak Rohingya yang memerlukan lapor astro awani.
“Untuk tempoh sebulan itu, setiap hari kami nekad untuk memberi bantuan makanan kepada 100 keluarga dari kawasan yang berbeza.
“Dengan harapan mereka dapat berpuasa penuh dan tidak menjadikan alasan tiada makanan sebagai halangan untuk mereka berpuasa seperti yang lain,” jelas Rafik lagi.
