Berita Hari Ini

Beli ubat, dapatkan rawatan dikecualikan dari ketetapan pergerakan 10km

Susulan aduan daripada pesakit dan komuniti perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi pengecualian berhubung pergerakan tidak melebihi 10km di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi individu yang keluar rumah untuk mendapatkan rawatan.

Menurut laporan portal berita Code Blue, perubahan dalam dasar itu berlaku selepas terdapat laporan bahawa pesakit kanser telah diarah patah balik di sekatan jalan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberitahu portal tersebut bahawa beliau berbincang dengan Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador berhubung pengecualian kepada individu yang ingin mendapatkan rawatan perubatan.

“Saya telah memaklumkan kepada IGP. Beliau sedar (perkara ini),” katanya.

Bagaimanapun, Dr Adham menegaskan bahawa dokumen-dokumen yang dikehendaki di sekatan jalan raya adalah mengikut budi bicara polis.

Semalam di Sabah dan Sarawak, pihak berkuasa negeri telah memutuskan untuk mengenepikan ketetapan untuk mendapatkan kebenaran polis bagi individu yang ingin mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan lebih dari 10km dari rumah.

Code Blue hari ini memetik Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia Dr M Muralitharan sebagai berkata bahawa dua pesakit kanser dari KL berkenaan masing-masing dihalang daripada mendapatkan rawatan di Ampang dan Cheras.

Beliau juga memetik dua lagi kes di Melaka dan Pahang.

Pengecualian itu susulan peraturan yang dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dalam warta yang ditandatangani oleh Dr Adham pada 31 Mac.

Warta berkenaan menetapkan agar orang awam mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan yang terletak 10km dari mereka rumah “atau tempat yang paling dekat dengan kediamannya”.

Walau bagaimanapun, di bawah Peraturan 5, mereka yang mempunyai alasan khas untuk keluar ke kawasan lain mesti mendapatkan surat kebenaran dari balai polis terdekat.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, pihak polis menanggapi peraturan itu sebagai kebenaran polis adalah wajib atau pesakit akan diminta patah balik di sekatan jalan raya.

Semalam, Yii mencadangkan agar dokumen temu janji hospital/klinik atau preskripsi ubat mencukupi untuk ditunjukkan pada setiap sekatan jalan atau pemeriksaan bagi pertimbangan khusus diberikan kepada pesakit.

“Peraturan ini bukan sahaja menambah birokrasi yang tidak perlu bagi pesakit untuk mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan tetapi juga menyebabkan banyak kesulitan, terutama bagi pesakit di kawasan luar bandar.

“Walaupun saya faham sebab-sebab di sebalik peraturan-peraturan itu terutamanya semasa wabak seperti ini, saya minta menteri untuk mengambil kira demografi tempatan Sarawak dan akses kepada penjagaan kesihatan untuk penduduk luar bandar,” kata Yii.

Beliau menambah bahawa penduduk luar bandar terdiri daripada sebahagian besar penduduk di Sarawak yang mungkin perlu melakukan perjalanan lebih dari 10km untuk akses ke kemudahan kesihatan awam terutamanya hospital.

Beliau juga menekankan masalah yang dihadapi oleh beberapa pesakit yang mempunyai temu janji di hospital pakar yang jauh dari rumah mereka.

Berikutan rayuan Yii dan petisyen dalam talian, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas bertemu dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak Ramli Din dan mengumumkan bahawa peraturan itu akan dilonggarkan di kawasan luar bandar yang terpilih yang kurang mendapat kemudahan penjagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon Ming Fung juga membuat pengumuman yang sama semalam.

Sabah dan Sarawak adalah dua negeri terbesar di Malaysia dan mempunyai doktor yang lebih rendah berbanding nisbah pesakit berbanding di Semenanjung Malaysia.

Longgarkan peraturan di Semenanjung

Semalam, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Mohd Ismail Muslim berkata, pihak polis boleh meminta orang awam menunjukkan bil utiliti mereka semasa pemeriksaan sekatan atau “snap check” untuk membuktikan mereka berada dalam lingkungan 10km dari rumah mereka seperti yang digariskan dalam PKP fasa kedua.

“Bagaimanapun, jika anda memenuhi kriteria keluar seperti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) 2020, anda tidak perlu risau (tidak perlu menunjukkan bil utiliti),” katanya.

Terdahulu hari ini presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran juga telah meminta negeri-negeri semenanjung mengamalkan kelonggaran yang sama seperti di Sabah dan Sarawak.

“Peraturan ini tidak munasabah.Terdapat pesakit yang memerlukan secara kerap ke hospital yang jauh melebihi 10km dan bagi sesetengah daripada mereka, ia tidak boleh ditangguhkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata, bagi pesakit kanser, kelewatan kemoterapi boleh mengakibatkan keadaan kesihatan yang semakin buruk.

“Kami menggesa pihak berkuasa untuk melonggarkan peraturan ini dengan serta-merta dan membenarkan pesakit yang membawa dokumen yang diperlukan seperti kad temu janji atau surat rujukan (untuk ditunjukkan  pada sekatan jalan) untuk mebolehkan mereka ke hospital,” katanya.

Ganabaskaran juga menggesa pihak berkuasa untuk membenarkan, dengan dokumen yang diperlukan, pengambilan ubat untuk warga emas.

“Kami menasihatkan ubat-ubatan itu diambil oleh ahli keluarga yang lebih muda atau rakan yang dipercayai, jika orang yang lebih tua hidup sendirian. Orang yang lebih tua dinasihatkan untuk mengelakkan tempat awam yang ramai ketika ini,” katanya.

Pandangan yang sama disuarakan oleh Dr Milton Lum, seorang ahli Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang juga pernah menjadi presiden MMA.

“Anda tidak boleh terlalu ketat, kerana jika warta anda tegas, polis hanya akan mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Lum juga mendesak agar peraturan satu orang bagi satu kenderaan tidak digunakan dalam kes seorang pesakit yang akan mendapatkan rawatan perubatan.

“Banyak orang sakit memerlukan bantuan untuk ke hospital atau klinik. Anda tidak perlu menjadi doktor untuk tahu perkara ini. Ramai pesakit memerlukan bantuan dan tidak dapat bergerak sepenuhnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");