Berita Hari Ini

Benarkah Individu terkandas di India dakwa nama sengaja dicicirkan MIC?

Seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Trichy, India lebih 16 hari bersama isterinya merayu Menteri Luar Negeri Hishamuddin Hussein dan bekas perdana menteri Najib Razak membantu membawa mereka pulang.

Subramaniam Batumalai, 57 dalam satu video yang ditularkan dalam media sosial sejak semalam mendakwa beliau dinafikan penerbangan bagi kali kedua walaupun namanya tersenarai dalam senarai penumpang pulang ke Malaysia.

“Saya rayu Datuk Seri Najib dan Hishamuddin, tolonglah bantu kami. Saya orang setia BN. Berapa lama lagi kami nak tunggu sini? Kami nak balik ke tanah air,” kata beliau dalam video tersebut.

Subra yang merupakan bekas tahanan Sosma selepas dikaitkan menyokong kumpulan militan LTTE, mendakwa namanya sengaja dicicirkan MIC kerana membantu agensi pelancongan KPSTravel & Tour yang berhubung rapat dengan pemimpin pembangkang.

Menurutnya, beliau bersama lebih 80 rakyat Malaysia berlepas ke India menerusi agensi pelancongan berkenaan dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun penerbangan untuk pulang terpaksa dibatalkan akibat krisis wabak Covid-19.

Katanya, beliau kemudian dimaklumkan bahawa MIC akan membantu membawa mereka yang terkandas di Trichy pulang ke Malaysia menaiki tiga penerbangan, sebelum memberikan nama mereka kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai.

Beliau berkata mereka terpaksa mengutip dana selepas MIC mengumumkan rakyat Malaysia yang melancong ke India secara kumpulan perlu diselia oleh agensi pelancongan masing-masing.

“Namun kutipan dana tidak diteruskan selepas pengumuman MIC bahawa 12 lagi penerbangan khas disediakan dan tiada keperluan untuk mengutip sumbangan.

“Antara individu yang memberi sumbangan kepada kami ialah bekas menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan peniaga Oms P Thiagarajan yang merupakan pemimpin pembangkang.

“Ini menyebabkan MIC sengaja menghalang saya kali kedua semalam. Saya diminta oleh wakil MIC di Trichy supaya menghubungi Saravanan sekiranya ingin pulang walaupun petugas kerajaan Malaysia semalam mengesahkan bahawa nama saya dan isterinya sudah tersenarai dalam penerbangan pulang,” dakwanya.

Subra mendakwa dalam penerbangan AirAsia semalam, terdapat 17 kerusi kosong namun beliau dan isteri dinafikan menaiki pesawat itu.

Untuk rekod, India merupakan negara paling ramai rakyat Malaysia terkandas dengan hampir 3,000 orang.

MIC dengan bantuan syarikat swasta menyediakan 18 penerbangan khas dalam misi membawa balik mereka.

MIC nafi dakwaan pilih kasih

Pimpinan tertinggi MIC bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa parti itu mengamalkan sikap pilih kasih dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas di India.

“Kami sebagai parti politik hanya membantu menjana sumbangan untuk membawa balik rakyat Malaysia. Jika ada invididu tertentu tidak dapat balik maka ada masalah peribadi kepadanya.

“Tidak wajar tuduh YB Saravanan hanya kerana beliau menteri di kerajaan pusat,” kata satu sumber kepada Malaysiakini.

Sumber yang tidak ingin mendedahkan identiti itu menambah MIC tidak ada kepentingan dalam memilih rakyat Malaysia yang sepatutnya pulang ke tanah air.

Ketika dihubungi, pengarah urusan KPS Travel K Palanisamy memberitahu kesemua rakyat Malaysia yang berlepas ke India menerusi agensinya telah selamat pulang ke Malaysia semalam.

Beliau mendakwa memang terdapat amalan pilih kasih sejak hari pertama MIC membantu rakyat Malaysia yang terkandas.

“Sepatutnya, kerajaan yang mengendalikan operasi ini. Bukannya parti politik.

“Yang balik awal semua orang-orang berkepentingan dengan parti itu. Kemudian barulah orang lain diberi peluang. Kumpulan saya dilabel sebagai pembangkang dan dinafikan.

“Kumpulan saya antara yang terawal terkandas. Namun, hanya dapat pulang semalam. Itu pun selepas tekanan yang kami berikan kepada Kedutaan Malaysia di New Delhi.

“Masih ada dua orang (US Subra dan isteri) dinafikan,” katanya yang merupakan bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC).

Tambahnya, parti politik sepatutnya tidak diberi kebenaran menguruskan urusan rasmi kerajaan.

Malaysiakini telah menghubungi Hishamuddin untuk mendapatkan ulasan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");