Perak Hari Ini

Covid-19: MajuPerak Bantu Kakitangan, Barisan Hadapan Terkesan

IPOH: Prihatin dengan nasib golongan yang terkesan dengan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MajuPerak Holdings Bhd (MHB) melancarkan ‘Tabung Khas Covid-19’ yang kini telah berjaya mengutip hampir RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Nirzan Noordin berkata tabung yang dilancarkan pada 31 Mac lalu itu menyasarkan golongan kakitangan yang terjejas serta para petugas di barisan hadapan.

Kata beliau, sumbangan kesemua diterima itu adalah daripada kakitangan MHB serta para rakan niaga syarikat.

“Kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang memerlukan kita telah menyerahkan 200 kotak makanan sementara 300 kita serahkan kepada warga Ipoh yang kurang berkemampuan.

“Selain itu, sebanyak 150 kotak makanan turut kita serahkan kepada petugas barisan hadapan,” katanya.

Jelasnya antara barangan yang terdapat pada kotak makanan itu seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandung, biskut, mi segera, sardin dan susu pekat.

Tambah beliau lagi, selain daripada itu MHB turut menyerahkan barangan bantuan berupa topeng muka, pelindung muka, cecair pembasmi kuman dan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada kakitangan kesihatan negeri.

“Kita telah menerima sumbangan 4,000 topeng muka daripada Syarikat Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan kita panjangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri.

“Selain daripada itu, kita turut menggunakan dana Tabung Khas Covid-19 untuk kita menyumbangkan barangan seperti PPE, topeng muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada siri penyerahan bantuan di Pejabat Kesihatan Negeri Perak, dekat sini, hari ini.

Pada masa sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming mengucapkan penghargaan kepada MHB atas semua sumbangan yang diberikan.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi satu rakaman video yang dikongsikan kepada media berkata menyambut baik usaha MHB dalam membantu golongan yang memerlukan dan petugas barisan hadapan.

“Saya berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak serta badan-badan korporat lain dapat tampil ke hadapan bersama kerajaan, untuk memberi bantuan kepada golongan tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");