IPOH: MajuPerak Holdings Bhd (MHB) menyerahkan 500 kotak bantuan Sumbangan Tabung Khas Covid-19 MHB kepada tiga kawasan, hari ini.
Kawasan tersebut ialah Parlimen Tambun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, serta DUN Sungai Manik.
Pengurus Besar, Pengurusan Tanah dan Aset MHB, Abd Karim Nast Mohd Alias berkata penyerahan sumbangan fasa kedua MHB itu turut diadakan susulan bulan Ramadan yang akan menjelang minggu ini.
Katanya sumbangan akan diserahkan kepada penyelaras di setiap kawasan yang mana kemudiannya penyelaras tersebut akan mengagihkan kotak bantuan itu kepada golongan yang memerlukan.
“Daripada 500 kotak itu, 200 masing-masing akan diserahkan kepada Parlimen Tambun dan DUN Chenderiang sementara DUN Sungai Manik akan menerima 100 kotak.
“Antara barangan keperluan asas yang disumbangkan termasuk beras, susu, tepung, gula, garam dan disebabkan Ramadan bakal tiba, kita turut menyumbangkan sekotak kurma setiap satu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Penyerahan Sumbangan Tabung Khas Covid-19 MHB Fasa Kedua di Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh serta Datuk Zainol Padzi Paharuddin.
Sementara itu, Zainol yang mewakili Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau menyambut baik sumbangan oleh MHB untuk golongan yang terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu,
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik turut berterima kasih kepada MHB kerana turut memilih kawasannya sebagai antara penerima sumbangan.
“Kita bersyukur kerana menerima walau bagaimanapun saya yakin lokasi dan kawasan ADUN lain juga akan turut menerima sumbangan sama ada daripada mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain,” katanya.
Untuk rekod, pada fasa pertama MHB telah menyumbangkan kotak-kotak makanan kepada petugas barisan hadapan dan kakitangan MHB serta para rakan niaga syarikat, pada awal April lalu.