Berita Hari Ini

COVID-19: Telco berusaha tambah baik capaian internet

Semua 13 syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini sedang berusaha menambah baik capaian internet di kawasan perumahan yang dilaporkan perlahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata masalah itu berlaku kerana penggunaan internet di kawasan perumahan meningkat secara mendadak berikutan orang ramai tidak boleh keluar selain ada yang bekerja dari rumah.

“Secara umumnya komposisi capaian internet mempunyai tiga komponen iaitu kawasan perumahan, pejabat dan jalan raya. Mereka (telco) sedang bertungkus-lumus untuk memastikan akses internet di kawasan perumahan tidak terjejas.

“Mereka berusaha untuk memastikan kita tidak runtuh dari segi capaian dan sedang berusaha menugasi semula tiga komponen dengan lebih pemberatan di kawasan perumahan supaya akses internet dapat dikekalkan pada tahap yang baik,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hab simpanan barang sumbangan COVID-19 bagi Parlimen Indera Mahkota di sini semalam, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah membuka 48 kertas siasatan berkaitan COVID-19, iaitu 46 kes membabitkan berita palsu manakala bakinya berkaitan elemen jelik.

Daripada jumlah itu, kes paling banyak direkodkan di platform laman sosial Facebook iaitu sebanyak 37 kes diikuti Twitter (tujuh), WhatsApp (tiga) dan satu di laman web.

“Terdapat juga 24 kes dalam siasatan aktif iaitu di peringkat pemantauan, mengenal pasti suspek dan analisis forensik. Selain itu, SKMM sudah mendakwa enam individu di mahkamah manakala lima lagi dikeluarkan notis amaran.

“Ini bukan angka yang baik kerana kita sedang menangani isu COVID-19. Setiap hari, Pasukan Respon Pantas kementerian kami juga perlu menafikan lima atau enam berita tidak sahih yang tular di laman sosial,” katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata, beliau memaklumkan Kementerian Kewangan supaya petugas media di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia disenaraikan sebagai petugas barisan hadapan kerana mereka juga ‘turun ke bawah dan terdedah kepada risiko’ seperti yang dialami pihak kesihatan dan keselamatan dalam melaksanakan tugas.

Mengulas mengenai bantuan COVID-19 di Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin selaku Ahli Parlimen kawasan itu berkata pengagihan sumbangan dibuat sejak awal pelaksanaan PKP membabitkan pemberian pek makanan kepada pelajar universiti dan petugas barisan hadapan.

“Sumbangan barangan dapur membabitkan 4,000 penerima selain sumbangan barangan bayi termasuk susu dan barangan keperluan peribadi seperti tuala wanita serta lampin pakai buang dewasa diberikan kepada 2,000 penerima,” katanya.

Saifuddin berkata sebanyak 1,000 unit penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman dan 500 unit pelindung muka disumbangkan kepada petugas barisan hadapan selain terdapat sukarelawan wanita di Beserah yang menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) buat petugas kesihatan. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");