Berita Hari Ini

COVID-19: Tersentuh Merawat Kluster Tabligh

KOTA KINABALU: “Pengalaman merawat kluster jemaah tabligh sehingga kini meninggalkan kesan yang amat mendalam di hati saya.”

Demikian kata Natalia Aivy Dibit, 27, jururawat yang bertugas di sebuah hospital kerajaan di Labuan dan juga golongan barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19.

Natalia mengakui pada mulanya beliau ada rasa marah kerana menganggap kluster jemaah tabligh menjadi punca peningkatan kes COVID-19 di Labuan.

“Jujur saya katakan pada mulanya saya berasa marah kerana menganggap kluster jemaah tabligh ini menjadi punca kes wabak COVID-19 meningkat di Labuan.

“Bagaimanapun apabila berdepan dan merawat mereka, sangkaan buruk saya itu meleset dan saya menjadi malu dengan diri sendiri.

“Tekanan penat bertugas jadi hilang apabila berdepan dengan mereka dan yang mudah memberikan kerjasama.

“Paling saya tak boleh lupakan apabila seorang daripada mereka berpesan dengan saya siapa pun saya, apa pun agama saya, pekerjaan saya ini mulia dan anggap ia satu perjuangan yang agung dan mulia.” katanya ketika dihubungi BH.

Natalia berkata menjadi sebahagian dari barisan hadapan adalah satu dugaan paling mencabar terutamanya apabila berdepan dengan emosi pesakit yang tidak menentu.

“Memang mencabar. Salah satunya apabila berdepan emosi pesakit selain bertugas mengendalikan sampel, ‘vital signs routine’ dan sebagainya tetapi saya juga memahami kerana mereka amat tertekan.

“Kalau boleh saya berharap duduk lama-lama dengan pesakit dan berbual tapi keadaan tidak mengizinkan malah boleh sesak nafas kalau bercakap banyak sewaktu memakai PPE (peralatan perlindungan peribadi).

“Tambahan pula memakai PPE ini amat panas.

“Penampilan diri juga telah menjadi semakin merosot kerana selepas menanggalkan PPE. Kami dikehendaki mandi dengan sabun mandian Chlorexidine 4% Body Wash. Sabun mandian ini buatkan kulit jadi kering, rambut jadi gugur dan ada sebahagian kawasan kulit kepala dah mula jadi botak sedikit.

“Sehari mandi kadang lebih lima kali bergantung kepada keadaan,” katanya.

Natalia berkata waktu bekerjanya juga telah menjadi panjang apabila pandemik COVID-19 bermula.

“Waktu syif yang panjang selama 12 jam memang mencabar sebab sebelum ini syif paling panjang pun 10-11 jam untuk bekerja malam namun saya sangat bersyukur apabila pihak pengurusan menambah kakitangan dan mengubahsuai jadual bekerja menjadikan tiga hari 12 jam kemudian rehat sebelum mula bertugas untuk syif tiga hari 12 jam lagi.

“Pihak atasan banyak membantu menaikkan semangat dan setia mendengar keluhan kami.

“Emosi kena kuat. Jiwa kami harus kental bila bekerja sebagai barisan hadapan kerana kalau kami tumbang, masyarakat nak berharap pada siapa lagi,” katanya.

Beliau yang juga penulis novel dengan jumlah pengikut yang ramai di laman media sosial Facebook juga sentiasa menaikkan pelbagai pautan mengenai kesedaran mengenai bahayanya COVID-19.

“Untuk barisan hadapan harus terus berjuang kerana masyarakat perlukan kita. Kita mesti menang dan merangkul kejayaan hingga ke akhirnya. Jaga diri dan kesihatan.

“Kepada masyarakat, kami tidak minta banyak. Hanya doa dan kata semangat. Kita yang bertanggungjawab memutuskan rantaian virus ini. Patuh pada arahan kerajaan. Duduk di rumah dan jaga kebersihan,” katanya memetik BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");