Perak Hari Ini

Covid-19: Wanita Ikram Perak Hasil Pelindung Muka Untuk Barisan Hadapan

IPOH: Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Perak telah mengambil inisiatif bagi menghasilkan pelindung muka atau face shield untuk kegunaan anggota kesihatan barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

Ketuanya, Hasnidar Ghazali berkata menerusi projek ‘Face Shield Heroes’ yang diusahakan Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Wanita Ikram Perak terpanggil untuk terlibat dalam menyedia dan mengedarkan pelindung di beberapa kawasan yang disasarkan.

Katanya projek yang telah bermula sejak 20 Mac lalu itu merangkumi tiga zon iaitu Zon A yang meliputi Tambun, Ipoh dan Batu Gajah, sementara Zon B melibatkan kawasan Manjung serta Zon C melibatkan daerah Batang Padang.

“Di Zon A kita menyalurkan bantuan ini ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala Zon B bantuan disalurkan ke Hospital Manjung dan Zon C di Hospital Slim River dan Pejabat Kesihatan Batang Padang.

“Di Zon A kita telah menyerahkan pelindung muka ini sebanyak 758 dan di Manjung pula sudah diserahkan 300 pelindung muka.

“Sementara itu Hospital Slim River dan Pejabat Kesihatan Batang Padan masing-masing telah diserahkan sebanyak 850 dan 200 pelindung muka.

“Pada masa sama, Wanita Ikram Perak sedang giat menyediakan 1,925 pelindung muka baru. Ia akan diagih-agihkan secara berperingkat di ketiga-tiga zon bermula Selasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Tambah beliau projek tersebut yang bermula dengan empat orang itu kini telah melibatkan seramai 80 sukarelawan dalam penyediaan pelindung muka itu.

Jelas Hasnidar pelindung muka itu dihasilkan secara sendiri yang mana model untuk barangan tersebut telah disediakan Pemuda Gema.

“Wanita Ikram Perak terpanggil untuk terlibat dengan projek ini ialah kerana ianya selaras dengan visi dan misi Ikram itu sendiri iaitu sebagai pertubuhan dakwah dan kebajikan.

“Atas dasar itu, kami mengambil inisiatif untuk terlibat dalam Projek ‘Face Shield Heroes’ yang diusahakan Pemuda Gema,” katanya.

Difahamkan, sebanyak 18 pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi yang terlibat dalam projek itu diseluruh negara antaranya, Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni), Projek Wawasan Rakyat (POWR) dan Pertubuhan Ihsan Masyarakat Malaysia (Prisma).

Sementara itu, bagi mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan ke Tabung Bantuan Covid-19 Ikram Perak, sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank Maybank 569972000165.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Nordin Salem di talian 013-3911992 atau Selamat Aliman di talian 019-5572465

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");