Berita Hari Ini

Hospis Malaysia berdepan masalah kekurangan PPE

Akses kepada peralatan pelindungan peribadi (PPE) adalah masalah terbesar yang dihadapi sukarelawan yang menyediakan penjagaan kesihatan kepada pesakit tenat, kata ketua pegawai eksekutif Hospis Malaysia, Dr Ednin Hamzah.

Beliau memberitahu FMT bahawa organisasinya, yang memberikan jagaan paliatif profesional percuma kepada pesakit seperti itu, berdepan kesukaran bukan sahaja untuk mencari, tetapi juga untuk membeli peralatan berkenaan.

“Ia mahal, terutama bagi organisasi amal yang tidak mengenakan bayaran untuk perkhidmatannya,” katanya.

Tanpa peralatan itu, golongan profesional yang bekerja dengan Hospis Malaysia berdepan risiko dijangkiti Covid-19 daripada orang yang terdedah kepadanya, tambah beliau.

Penjagaan pesakit kadang kala memerlukan sentuhan fizikal, seperti ketika mencuci luka dan menukar tiub, atau perbincangan secara bersemuka bagi memastikan kesejahteraan emosi dan psiko-sosial.

Ednin juga berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan organisasi itu sukar menjalankan kebanyakan fungsinya.

Sebagai contoh katanya, organisasi itu tidak lagi mampu menjalankan sesi jagaan harian dan pemulihan atau menjalankan aktiviti latihan dan program mengumpul dana.

PKP juga menyebabkan Hospis Malaysia tidak dapat menyediakan katil pesakit, mesin bantuan oksigen dan peralatan perubatan lain.

Ketika fasa awal PKP, ia mempengaruhi kemampuan sukarelawan untuk melakukan perjalanan meninjau keadaan pesakit di rumah mereka, walaupun dengan pelekat pengenalan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan organisasi lain yang berkaitan.

“Polis yang melakukan sekatan jalan raya tidak tahu jururawat dan doktor mungkin tidak hanya bekerja di hospital untuk merawat pesakit mereka,” kata Ednin.

“Ini sering melambatkan kemampuan mereka untuk bertemu pesakit.”

Merujuk kepada keadaan kewangan Hospis Malaysia, beliau berkata, banyak tekanan dicetuskan oleh wabak Covid-19 dan kesannya terhadap ekonomi.

“Sumbangan yang kami perlukan untuk meneruskan aktiviti kami sangat terjejas,” katanya.

Mereka yang ingin menghubungi Hospis Malaysia boleh melakukannya melalui [email protected] atau nombor telefon +603-9133 3936.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");