Berita Hari Ini

Industri Pelancongan, Hotel Gesa Kerajaan Sedia Lebih Banyak Bantuan

PETALING JAYA: Pakej bantuan baru untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memberi harapan kepada pengusaha hotel serta ejen pelancongan mendapatkan sokongan lanjut daripada kerajaan bagi membantu industri itu.

Wakil Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Persatuan Pelancongan Johor dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata, ada keperluan untuk pakej bantuan khusus bagi industri itu kerana ia antara yang paling teruk terjejas akibat krisis Covid-19.

Presiden Matta, Tan Kok Liang berkata industri pelancongan ialah pihak pertama yang merasai impak ekonomi akibat pandemik itu dan yang terakhir pulih daripadanya, oleh itu ia memerlukan bantuan kewangan lebih tertumpu kepada sektor berkenaan.

Beliau menyambut baik pakej RM10 bilion untuk PKS kerana banyak syarikat pelancongan berada dalam kategori itu.

Bagaimanapun, program subsidi gaji perlu diperluaskan dari 3 kepada 6 bulan kerana industri pelancongan akan mengambil masa lebih panjang untuk pulih.

“Matta juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan sektor swasta menghentikan caruman mandatori seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) selama 6 bulan.”

Katanya, belum ada respons positif berhubung cadangan itu setakat ini.

Beliau berkata, Putrajaya juga perlu mempertimbangkan penangguhan cukai individu serta syarikat bagi 2019 dan 2020.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Johor, Jimmy Leong berkata, banyak perniagaan pelancongan “hampir tumbang” dengan hotel bertaraf bintang dan bajet sukar untuk terus bertahan.

Katanya, bantuan kewangan kerajaan mampu meringankan beban dari segi perbelanjaan dan kos, tetapi masalah utama ialah mengekalkan tenaga kerja dengan hanya sedikit atau langsung tiada pendapatan.

“Dengan begitu banyak ketidaktentuan buat masa ini, langkah kewangan sama yang mungkin diambil sebuah entiti untuk terus bertahan ialah penutupan sementara.

“Hakikatnya, ia adalah langkah jangka pendek dan menyakitkan kerana pilihan untuk penyelesaian lain sangat terhad. Ia sama ada tiada perniagaan atau meneruskan operasi tanpa pendapatan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sektor itu mungkin memerlukan 6 hingga 9 bulan untuk pulih kerana impak ekonomi akibat pandemik itu akan menyaksikan tidak banyak pelancong dalam jangka pendek, walaupun selepas perintah kawalan pergerakan berakhir.

Beliau menggesa Putrajaya mengecualikan bayaran lesen bagi pemandu pelancong selama 2 tahun, serta langkah sama bagi syarikat pelancongan dan hotel.

MAH turut meminta kerajaan menyediakan pakej yang dikhaskan untuk industri pelancongan kerana kadar penginapan dijangka tidak akan meningkat dalam 6 bulan.

Katanya, pakej rangsangan umum untuk semua tidak mencukupi untuk industri pelancongan terus bertahan dan MAH sudah menyerahkan cadangan khusus bagi industri itu kepada menteri kewangan.

Ini termasuk subsidi gaji RM1,000 bagi setiap pekerja berpendapatan kurang RM5,000 dan subsidi 30% selama 6 bulan bagi pekerja berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000.

“Ini tidak dipertimbangkan atau disentuh dalam pengumuman (pakej) Prihatin Tambahan dan kami teka akan ada satu lagi (bantuan) untuk pelancongan.”

Firma penyelidikan Affin Hwang Capital sebelum ini memberi amaran sektor pelancongan akan kerugian RM50 bilion hingga RM60 bilion tahun ini akibat krisis Covid-19.

Katanya, ia berdasarkan andaian krisis itu akan menyebabkan ketibaan pelancong berkurangan 60% dan seterusnya kekurangan pelancong akan mengurangkan penggunaan swasta serta pertumbuhan ekonomi memetik FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");