Perak Hari Ini

Ingkar PKP: 3 Warga Indonesia Sedang Memancing Antara 26 Individu Didakwa Di Mahkamah

IPOH: 12 Warga asing antara 26 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dekat sini, hari ini atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Ipoh sejak 29 Mac lalu.

Kesemua tertuduh termasuk lima warga Myanmar, empat Bangladesh dan tiga dari Indonesia yang berumur antara 17 hingga 47 tahun itu mengaku salah apabila pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norhanum Mohamad Shah.

Walau bagaimanapun prosiding bagi semua tertuduh warga Bangladesh dan Myanmar akan dibicarakan semula pada 20 Mei depan selain jurubahasa akan turut dipanggil.

Mengikut fakta kes, tiga warga Indonesia tersebut ditahan ketika sedang memancing di sebuah lombong di Klebang dekat sini pada 9.45 malam, 30 Mac lalu.

Mereka ditahan ketika pihak polis sedang membuat tugasan Pemantauan Ops Covid-19 di beberapa lokasi di sekitar Bandaraya Ipoh.

Kesemua 26 tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Majistret memutuskan kesemua mereka didenda RM1,000 atau dikenakan penjara tiga bulan jika gagal membuat demikian.

Pada masa sama, tiga warga tempatan yang dituduh turut berhadapan pertuduhan lain iaitu satu pertuduhan kerana memiliki dadah jenis heroin sementara dua pertuduhan lain kerana gagal menunjukkan kad pengenalan semasa ditahan pihak polis.

Selain ingkar terhadap PKP, individu yang ditahan di Chemor pada 29 Mac lalu itu dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah berkenaan seberat 10.30 gram.

Majistret memutuskan 20 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan diri ketika pemeriksaan polis, dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Majistret memutuskan mereka dikenakan denda RM500 dan penjara dua bulan jika gagal berbuat demikian.

Pendakwaan yang berlangsung sekitar tiga jam itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norasmaniza Mohammad manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizawani Ahmad Jalaludin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");