Berita Hari Ini

Inspektor Hadapi Pertuduhan Memperdagangkan Wanita Mongolia

KLANG: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia, minggu lalu.

BH Online melaporkan, Hazrul Hizham Ghazali, 30, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdagangkan seorang perempuan warga Mongolia berumur 20 tahun, bagi maksud eksploitasi seks dengan penyalahgunaan kuasa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam kira-kira 10.30 malam 10 April lalu hingga kira-kira jam 8.30 malam 11 April, di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada waktu dan hari sama, di sebuah lagi bilik di hotel sama, terhadap seorang perempuan warga Mongolia berumur 36 tahun.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang tiga tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim, memohon mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta perlu menyerahkan pasport antarabangsanya dan melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam bela tertuduh, Shah Rizal Abdul Manan, bagaimanapun merayu mahkamah meletakkan satu jumlah ikat jamin minimum memandangkan tertuduh sudah digantung kerja sementara sejak minggu lalu, selain gaji bulanan sebanyak RM1,900 hanya dibayar separuh.

“Tertuduh tanpa sebarang alasan memikul tanggungjawab dan menghadirkan diri ke mahkamah, pagi ini, tanpa sebarang niat atau cubaan untuk melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

“Wang jaminan dikenakan hanya untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan bukan untuk dihukum, selain dia juga menyedari natijah yang akan menimpa sekiranya tidak hadir atau melarikan diri.

“Tertuduh kini berdepan kesukaran mencari kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya mohon jaminan serendah RM10,000 untuk setiap pertuduhan ditetapkan dan kami tidak mempunyai bantahan terhadap syarat tambahan yang dikenakan,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Tasnim menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya jika ada dan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.

Tasnim juga menetapkan tarikh 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.

Tertuduh ditahan pada malam 11 April lalu dan direman lima hari untuk membantu siasatan kes.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");