Perak Hari Ini

Jika PKP Berakhir, Perak Akan Cari Kaedah Sesuai Operasi Bazar Ramadan – MB

IPOH: Perak akan mencari kaedah sesuai bagi peniaga bazar Ramadan di negeri ini untuk terus beroperasi sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir atau ditarik balik.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengoperasian bazar Ramadan itu juga bakal dilaksanakan selaras dengan nasihat atau garis panduan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) demi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak terus berlaku.

Jelasnya sekiranya PKP berakhir sebelum menjelang Ramadan, kerajaan negeri akan mencari inisiatif bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan makan bermasak.

“Kita akan mengambil semua nasihat untuk kita mencari satu kaedah yang paling sesuai bagi membolehkan kita meraikan budaya Bazar Ramadan tanpa kita meringankan nasihat daripada KKM dan WHO.

“Namun ia tidak semestinya diadakan secara tradisi. Untuk kita menghentikan semua perniagaan itu saya fikir kita akan mencari jalan bagaimana dapat memudahkan urusan peniaga dan orang ramai,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Walau bagaimanapun tegas beliau, Perak akan akur dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang mana tidak membenarkan pengoperasian bazar Ramadan selagi PKP dilaksanakan pada sepanjang bulan tersebut.

“Kerajaan Pusat telah buat keputusan selagi PKP masih berjalan, maka semua Bazar Ramadan tidak akan dibenarkan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua Ramadan tidak akan dibenarkan selagi PKP fasa kedua masih dilaksanakan.

Kata beliau ia bagi memastikan kes jangkitan Covid-19 berupaya dikawal sepenuhnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");