Berita Hari Ini

Kedai Gunting Rambut Dibimbangi Pusat Penularan Baharu COVID-19 – Pakar

KUALA LUMPUR: COVID-19 boleh berlegar sekurang-kurangnya tiga jam di dalam premis yang sempit dan kekurangan pengaliran udara seperti kedai gunting rambut.

BH Online melaporkan, walaupun memakai penutup hidung dan mulut, tukang gunting dan pelanggan berisiko dijangkiti sekiranya seorang pelanggan yang dijangkiti virus itu batuk di dalam premis berkenaan.

Sekiranya tukang gunting memakai penutup hidung dan mulut secara sempurna atau mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) sekalipun, dia berisiko dijangkiti selepas menanggalkan PPE itu walau seketika, seterusnya menjangkiti pelanggan lain.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan meletakkan perkhidmatan gunting rambut sebagai sektor penting yang boleh beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah langkah yang tidak difikirkan kesannya kerana premis itu bakal menjadi lokasi paling berbahaya.

“Kedudukan muka antara tukang gunting dan pelanggan terlalu dekat dan jika kita lihat bagaimana seorang petugas kesihatan yang sedang memeriksa pesakit ketika ini, mereka memakai PPE yang lengkap.

“Pelanggan yang datang ke premis tidak diketahui status kesihatan mereka termasuk tukang gunting itu sendiri,” katanya kepada BH.

Dr Sazaly menjelaskan, kebenaran premis gunting rambut beroperasi dibimbangi akan menjadi pusat penularan baharu dan kluster COVID-19 yang perlu ditangani Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya fikir perkhidmatan gunting rambut bukan perkhidmatan yang penting ketika ini kerana ia memerlukan langkah yang teliti untuk mengelakkan penularan.

“COVID-19 ini mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga jam dan lebih membimbangkan keadaan premis yang kurang pengaliran udara dan terkongkong seperti kedai gunting rambut,” katanya.

Katanya, isu rambut panjang atau perapian diri tidak sewajarnya menjadi perkara utama kerana adalah penting untuk setiap masyarakat mengelakkan risiko dijangkiti wabak itu.

Dr Sazaly berkata masyarakat boleh memanfaatkan PKP dengan belajar menggunting rambut sendiri dan kemungkinan kerajaan atau tukang gunting boleh mempromosi cara menggunting rambut dengan betul.

“Apa yang utama bagi mereka adalah menjaga diri sendiri, tidak keluar rumah dan meningkatkan imunisasi dan antibodi badan masing-masing,” katanya.

Isu kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi mendapat reaksi daripada netizen sejak semalam termasuk daripada Public Health Malaysia yang menjelaskan, kedai gunting rambut berisiko sebagai pusat perebakan sekiranya tiada kawalan ketat.

Selain penjagaan kesihatan tukang gunting, premis itu juga perlu melakukan disinfeksi harian, mempunyai ruang pengudaraan yang baik, jarak sosial satu meter, kawal kemasukan pelanggan, pembersihan sisa rambut jika beroperasi.

Pelanggan juga perlu disaring sepenuhnya dan perlu membasuh tangan sebelum masuk serta duduk selain dilarang duduk berdekatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");