Berita Hari Ini

Kerajaan digesa benarkan PKS tangguh bayaran cukai pendapatan hingga Disember

Kerajaan digesa mempertimbang untuk membenarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan sehingga Disember ini berbanding hanya 3 bulan yang akan berakhir 1 Jun ini.

Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) berkata, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini, banyak PKS yang berdepan risiko muflis kerana aliran tunai dan perolehan terus susut, manakala perbelanjaan pula semakin meningkat.

“Oleh itu, kami berpendapat kerajaan sepatutnya mempertimbang untuk melanjutkan penangguhan bayaran itu sehingga Disember 2020.

“Ini kerana impak rantaian bekalan yang terjejas akan dirasai untuk tempoh lama, walaupun selepas berakhirnya penularan Covid-19,” kata 2 badan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Di bawah pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang diumumkan 27 Mac lepas, kerajaan membenarkan semua PKS menangguhkan bayaran ansuran cukai pendapatan selama 3 bulan bermula 1 April lalu.

Langkah itu sebagai tambahan kepada penangguhan sama yang diberikan kepada sektor pelancongan terjejas selama 6 bulan.

Selain itu, MICPA dan MARC berpendapat penting untuk institusi kewangan seperti bank dan institusi pembangunan kewangan tampil membantu pada saat-saat kritikal dalam sejarah ekonomi negara.

“Adalah penting bagi mereka untuk terus menyuntik dana baru ke dalam ekonomi dan menyokong aktiviti ekonomi menerusi kemudahan pinjaman kepada perniagaan yang berpotensi.

“Jika tidak, ribuan perniagaan akan gagal dan ini memberi implikasi serius terhadap sistem kewangan, ekonomi dan pasaran buruh. Malah, sebarang peningkatan perniagaan yang gagal ini boleh mencetuskan masalah sosial pada skala besar.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");