Panasnya Hari Ini

Kerajaan Digesa Tubuh ‘War Room’, Elak Bidang Kuasa Bertindih

KUALA LUMPUR – Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menubuhkan segera ‘war room’ atau bilik perang yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri setiap hari bagi memastikan penyelarasan keputusan dapat dibuat sekali gus merungkai pertindihan bidang kuasa.

Memetik Sinar Harian, Majlis pakatan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mendapati beberapa pengumuman dan tindakan kerajaan baru-baru ini seakan tidak diselaraskan di antara anggota Jemaah Menteri.

Sebagai contoh, Majlis Setiausaha PH merujuk isu pengumuman harga penutup muka (face mask), isu keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyampaikan bantuan di lapangan, isu sanitasi dan operasi nyah kuman di kawasan awam, apatah lagi isu penambahbaikan pakej rangsangan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ini.

“Semua jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menangani permasalahan yang timbul hasil ancaman Covid-19 mesti dipantau perjalanannya oleh Perdana Menteri melalui bilik perang (war room) yang ditubuhkan pada setiap hari.

“Ini akan menentukan keputusan dibuat melalui Jawatankuasa ini termasuk jawatan kuasa khas Kabinet akan dilaksanakan dengan berkesan kerana mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Majlis Setiausaha PH itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi DAP, Liew Chin Tong.

Majlis Setiausaha PH turut memandang serius pengumuman Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan penubuhan jawatankuasa Kabinet khas bagi menambah baik pakej rangsangan khusus bagi membantu PKS.

“Pada hemat kami, sewajarnya isu bantuan buat PKS ini telah diperinci lebih awal sebelum pengumuman Perdana Menteri pada 27 Mac lalu.

“Ini kerana PKS memainkan peranan amat penting dalam ekonomi negara di mana hampir tujuh daripada 10 pekerjaan disediakan PKS dan lebih satu pertiga KDNK dijana melalui aktiviti ekonomi oleh PKS.

“Majlis Setiausaha PH kekal berpendirian bantuan subsidi gaji pekerja swasta perlu ditambah sekurang-kurangnya dua kali ganda dari RM5.9 bilion kepada hampir RM12 bilion bagi membayar RM1,200 gaji minimum kepada 3.3 pekerja untuk jangka masa tiga bulan,” katanya.

Majlis Setiausaha PH turut berpendapat mewujudkan suatu lagi jawatankuasa seperti jawatankuasa Kabinet khas tentunya menambahkan lagi karenah birokrasi selain menampakkan kegagalan kerajaan memfokuskan aspek penting sepanjang tempoh mencabar pandemik Covid-19 ketika ini.

“Selain daripada masalah bidang kuasa, masalah utama lain adalah di mana letaknya fokus dan keutamaan kerajaan Muhyiddin? Apakah ekonomi atau kesihatan?

“Kami mengulangi penegasan kedua-dua aspek ini penting dan perlu ditekuni dengan mendalam dengan semua tindakan serta arahan mesti berpaksikan kefahaman jelas mengenai apa perlu dan ingin dilakukan kerajaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");