KUALA LUMPUR – Pengoperasian dan penugasan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada bulan Ramadan di setiap sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara, berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah kekal dan tiada perubahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata mereka bertugas seperti biasa serta tiada penambahan keanggotaan manakala shif kerja juga masih sama seperti PKP sebelumnya.
“Juadah sahur dan berbuka akan disediakan dan mereka (pegawai dan anggota polis) boleh berbuka puasa secara begilir-gilir,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas mengumumkan PKP yang akan berakhir 28 April ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei ini.
Ini merupakan kali ketiga PKP yang mula dilaksana pada 18 Mac dilanjutkan dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di Malaysia.