Berita Hari Ini

‘Lepas hujan, mentari akan datang’

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat Malaysia untuk terus cekal dalam memerangi penyebaran virus Covid-19.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini, Muhyiddin mengakui kesukaran dan beban yang dihadapi rakyat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kini genap tiga minggu.

“Selama tiga minggu ini, kita terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang biasa kita buat.

“Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan. Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengumumkan tambahan RM10 bilion bagi pakej rangsangan ekonomi.

Perdana menteri juga mengambil maklum aktiviti orang ramai selama tempoh tinggal di rumah bagi mematuhi PKP, termasuk mengayuh basikal dalam rumah dan mengubah ucapannya menjadi lagu.

“Marilah kita ingat bahawa kita secara semula jadi berdaya tahan, berkebolehan secara individu dan kuat secara kolektif.

“Marilah kita memperkuatkan resolusi kita dan tetap komited dalam memerangi Covid-19. Mari kita tetap mematuhi perintah PKP.

“Tetap kuat, kekal sihat, InsyaAllah, kita akan berjaya. Ingat, selepas hujan, mentari akan datang. Dan hari-hari yang lebih baik akan kembali menjelma,” katanya.

Muhyiddin berkata ini adalah pengorbanan yang mesti dibuat untuk menentang virus berkenaan.

Setakat ini, Covid-19 telah meragut 62 nyawa di Malaysia dengan angka kematian global melebihi 60,000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");