Perak Hari Ini
Like

MB Inc Serah Sumbangan Kepada 908 Keluarga Orang Asli

April 18, 2020
527 Views
0 Comments
2 minutes read
MB Inc Serah Sumbangan Kepada 908 Keluarga Orang Asli

HULU PERAK: Menempuh perjalanan selama tiga jam termasuk melalui jalan berbukit dan tidak berturap.

Itu antara cabaran dihadapi kakitangan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dalam menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik, dekat sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata sumbangan tersebut berupa bekalan makanan asas yang menyasarkan 908 keluarga di situ dan ia dianggarkan dapat menampung tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.

Jelasnya selain sumbangan daripada MB Inc, turut disampaikan barangan hasil sumbangan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, sumbangan telah diserahkan kepada Tok Batin yang mewakili 10 buah kampung di RPS Kemar.

Tambah beliau, penyerahan sumbangan makanan asas itu merupakan bantuan awal kerajaan negeri terhadap RPS Kemar susulan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Misi bantuan ini adalah sebagai tanda sokongan MB Inc. terhadap usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang prihatin terhadap nasib rakyat yang terkesan akibat pelaksanaan PKP.

“MB Inc. dengan ini ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu kelancaran pergerakan misi bantuan ke RPS Kemar kali ini.

“Khususnya pihak Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Ketua Polis Negeri Perak Datuk Razarudin Husain dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya ‘Pasukan MB Inc. Prihatin’ dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Pengkalan Hulu telah menghantar bekalan makanan asas kepada 10 kawasan penempatan Orang Asli di Daerah Pengkalan Hulu yang memanfaatkan lebih 300 isi rumah, baru-baru ini.

“Selain itu, MB Inc. juga telah menyumbang RM200,000 kepada Tabung Bencana dan Khidmat Sosial Kerajaan Negeri Perak, khusus bagi membantu agensi-agensi barisan hadapan yang terlibat dalam memerangi pandemik Covid-19 dan meringankan beban golongan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan PKP,” tambah kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, peruntukan Kerajaan Perak berjumlah RM830,000 bagi menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada lebih 13,000 isi rumah masyarakat Orang Asli di seluruh negeri telah selesai diagihkan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.