IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan kepada pihak polis berhubung isu Exco Kerajaan Negeri, Razman Zakaria berkaitan dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita menyerahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan. Kita yakin penuh terhadap apa yang polis lakukan.
“Tentunya pihak polis tidak ‘memilih bulu’ dan tentunya juga Razman akan memberi kerjasama yang baik kepada mereka,” katanya.
Ahmad Faizal juga menjelaskan bahawa Razman tidak perlu direhatkan daripada menjalankan tugas sebagai Exco susulan siasatan polis berhubung terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu.
Terdahulu dilaporkan Razman telah memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada Ahad berhubung dakwaan pelanggaran PKP dengan menghadiri perjumpaan berkumpulan seperti yang tular di media sosial akhir-akhir ini.
Sementara itu, Menteri Besar turut menyeru kepada semua pihak agar terus berusaha dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
“Seperti media, jika ada yang terpaksa keluar bertugas, maka jalankan tugas anda tetapi perlu memastikan penjarakan sosial itu berlaku.
“Begitu juga nasihat saya kepada barisan Exco, diri saya sendiri, keluarga dan sesiapa sahaja. Jika perlu keluar, amalkan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan,” katanya.
Selain itu ujar beliau kerajaan negeri kita sedang memberi penumpuan penuh terhadap masalah-masalah yang timbul susulan perlaksanaan PKP.
“Kita sedang mencari jalan bagaimana untuk merancakkan kembali ekonomi kita yang mana ia adalah penting.
“Kerajaan negeri memberi fokus kepada perkara itu namun pada masa sama kita juga faham tentang isu keselamatan diri kita dan orang ramai berkaitan penularan Covid-19,” jelasnya.