Membawang Hari Ini

Nak Sangat Peruntukan Khas: Kerajaan sedia dana RM1.3 juta untuk pembikin filem

Kerajaan mengumumkan dana bernilai lebih RM1.3 juta menerusi Skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada penggiat industri kreatif dan seni tempatan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menghubungi penerbit filem yang layak dalam masa terdekat bagi menguruskan pengagihan dana itu.

“Pada 26 Mac lalu, saya mengadakan pertemuan sidang video dengan wakil persatuan dan penggiat seni. Saya menerima pelbagai cadangan daripada warga penggiat seni termasuk penggiat filem.

“Dalam hal ini, FINAS mengusulkan cadangan khusus iaitu mengenai ITFC, iaitu suatu insentif bertujuan membantu dan menggalakkan penerbit filem terus menghasilkan filem tempatan.

“Selepas berbincang dengan pengurusan tertinggi kementerian, saya mengumumkan dana sebanyak RM1,325,560.11 juta diluluskan kepada sebilangan syarikat yang layak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kerajaan memahami kesukaran penerbit filem dan berharap ITFC mampu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjadi pemangkin dalam menghasilkan karya.

“Kerajaan sentiasa berusaha dan melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban ditanggung mereka ketika dalam PKP.

“Diharapkan insentif ini dapat membantu mereka terus menerbit dan memasarkan hasil karya filem untuk pasaran tempatan dan global.

“Saya sedang mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh dan meneliti beberapa laporan penting dalam usaha bersepadu untuk memperkasa industri kreatif negara,” katanya.

Sebelum ini, ramai pembikin filem resah apabila karya mereka tidak dapat ditayangkan selepas pawagam ditutup berikutan penularan COVID-19 dan menggesa FINAS campur tangan mengatasi masalah itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");