Panasnya Hari Ini

PAS: Terserah jika Anwar nak ambil tindakan pada Hadi

Presiden PKR, Anwar Ibrahim boleh ambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang jika dirasakan perlu berkait surat kepada pemimpin gerakan Islam dunia yang didakwa mengandungi maklumat tidak sahih.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, dari segi undang-undang Anwar berhak mengambil tindakan jika dirasakan berada di pihak yang ditindas.

“Dari segi undang-undang dia berhak ambil tindakan, kalau dia rasa dia pihak yang ditindas.

“Dia nak ambil (tindakan) pun boleh, tak ambil pun boleh, terserah pada dia,” katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini, ketika diminta mengulas cadangan peguam Anwar yang menyarankan tindakan diambil terhadap Abdul Hadi.

Terdahulu, Anwar berkata beliau buat masa ini “tidak cenderung” untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang meskipun dinasihatkan peguam berbuat demikian.

Ia berhubung tuduhan Abdul Hadi yang mengaitkannya dengan pergerakan Freemason.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan warganet di media sosial berhubung tuduhan Abdul Hadi dalam satu surat yang dikirim pemimpin PAS itu kepada pemimin gerakan Islam, semalam.

Sebagai rekod surat bertarikh 22 Mac dengan tajuk “Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi” yang ditulis dalam bahasa Arab itu dikesan tersebar di media sosial sejak 4 April lalu.

Surat yang dikatakan ditulis Abdul Hadi itu mengundang pelbagai kritikan kerana mengandungi pelbagai dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH) serta memburukkan Anwar, selain mempertahankan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

‘Pejabat duta khas di JPM Putrajaya’

Pada 9 April lalu, Anwar turut menjelaskan maklumat yang dinyatakan dalam surat ditulis Abdul Hadi sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu tidak sahih.

Sementara itu, ditanya mengenai lokasi pejabat Abdul Hadi sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, Takiyuddin berkata, MP Marang itu mungkin akan berpejabat di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Ini kerana katanya, jawatan itu bukan duta negara sebaliknya duta khas perdana menteri.

“Ia tak sama dengan duta luar negara, dia duta khas kepada perdana menteri.

“Beliau akan beroperasi mengikut apa yang ditetapkan oleh perdana menteri, pada pandangan sayalah apabila ada apa-apa beliau akan diarahkan untuk pergi ke sana (Timur Tengah).

“Mungkin akan duduk di JPM (Jabatan Perdana Menteri),” jelasnya yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");