Berita Hari Ini

PDRM Simpan 83,000 Data Kontak Rapat Pesakit Covid-19

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mempunyai sebanyak 83,000 data dalam sistem komputernya yang melibatkan individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit-pesakit Covid-19 di seluruh negara.

Jumlah tersebut terdiri daripada 61,000 orang rakyat tempatan dan 22,000 warga asing yang mempunyai kaitan dengan pesakit dalam siasatan serta individu bawah pemantauan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, data itu diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dianalisis oleh PDRM bertujuan untuk mengenal pasti individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

“Data ini kita akan dapat kenal pasti siapakah dalam kalangan kes-kes indeks pemulanya, siapakah ahli keluarga, sahabat dan jiran.

“Kita dapat kenal pasti pengenalan mereka dan bekalkan kepada KKM. KKM akan bertindak panggil mereka untuk datang membuat ujian,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Sinar Harian pada 8 April lalu yang menunjukkan 43 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia adalah dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Daripada 3,913 kes yang dicatatkan pada 7 April lalu, Selangor menjadi negeri paling tinggi mencatatkan jangkitan Covid-19 berbanding negeri lain dengan 970 kes manakala Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak 640 kes.

Data sehingga jam 12 tengah hari semalam menunjukkan Selangor telah mencatatkan sebanyak 1,118 kes sementara Kuala Lumpur sebanyak 699 kes.

Dalam pada itu, Abdul Hamid menjelaskan, pegawai dan anggota PDRM bertugas 24 jam sehari bagi memastikan data tersebut selesai dianalisis sepenuhnya.

“Sudah selesai separuh dan separuh telahpun kita sampaikan kepada pihak KKM. Jadi kita tidak tunggu, kedua-duanya bekerjasama iaitu pihak KKM dan PDRM serta pasukan petugas Covid-19. Jadi kita membuat kerja 24 jam sehari,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan, data yang diperoleh itu juga akan dimasukkan dalam sistem komputer khas bagi membolehkan petugas PDRM yang melakukan sekatan jalan raya mengesan individu yang didapati ingkar arahan sekiranya mereka diarah untuk menjalani tempoh kuarantin.

Menurutnya, maklumat yang terdapat dalam sistem tersebut ialah gambar individu, nombor kad pengenalan dan alamat rumah yang lengkap.

“Kita akan masukkan dalam sistem bagi membolehkan petugas sekatan jalan raya buat pemantauan. Mereka akan dapat mengesan orang ini dan jika dia ingkar menjalani kuarantin, dia langgar perintah tersebut, maka pihak polis akan ambil tindakan bawa dia ke balai,” tegas beliau.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai data rakyat asing yang terdapat dalam sistem tersebut, Abdul Hamid berkata, PDRM telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat lengkap lapor Sinar Harian.

“Data untuk warga asing kita dah dapat sekitar 22,000 orang. Maknanya 22,000 ini kita ada data yang diperoleh daripada persatuan-persatuan yang sudah dikongsi dengan kita. Orang ini sekiranya didapati positif Covid-19 kita sudah ada data mereka.

“Senang kita hendak tahu siapa, di mana dia duduk, bekerja dengan siapa, apartmen mana, (rumah) kongsi mana. Jadi kita sudah ada data-data kenalan pesakit lain yang dapat bantu KKM mendapat maklumat penting ini,” ujar beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");