Berita Hari Ini

Penduduk Sungai Lui Bimbang Cara Sara Hidup Selepas 2 Minggu PKPD

PETALING JAYA: Kebimbangan utama penduduk di 7 kampung Sungai Lui di Hulu Langat bukannya makanan, tetapi cara mereka untuk menyara keluarga selepas perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berakhir.

Sehingga kini, penduduk di kawasan ke-2 yang dikenakan PKPD itu mendapat bekalan makanan kering yang mencukupi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tetapi, Khadijah Baharuddin yang mempunyai 2 anak, berkata kebanyakan penduduk kampung bergaji harian.

“Buat masa ini, kami lebih bimbang mengenai pendapatan kami dan bagaimana kami mahu meneruskan hidup selepas PKPD.”

Katanya, walaupun penduduk kampung tidak boleh keluar berjumpa, mereka masih berhubung dengan satu sama lain melalui WhatsApp.

Beliau turut berdepan masalah mendapatkan bantuan makanan pada hari pertama kerana tinggal jauh dari jalan utama di mana bekalan itu diagihkan.

“Ibu bapa saya yang tinggal dekat jalan utama terpaksa mendapatkannya untuk saya.”

Bagaimanapun, selepas beliau dan beberapa jirannya memaklumkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan makanan sudah dihantar ke rumahnya.

Ahad lalu, kerajaan mengisytiharkan 7 kampung di Sungai Lui, termasuk 2 kampung Orang Asli dikenakan PKPD disebabkan 71 kes positif Covid-19 dalam kalangan 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23.

Mohd Razak Jalaluddin, ketua 4 kampung dari Batu 21 hingga Batu 24, berkata pihak berkuasa sudah menjalankan operasi nyahkuman di jalan utama Batu 21 hingga Batu 23, berhampiran sekolah tahfiz itu.

Katanya, penduduk kampung dalam keadaan baik dan mendapat bantuan makanan mencukupi.

“Makanan yang diberikan ialah makanan kering seperti beras, biskut, sardin dan tepung gandum yang dihantar pekerja JKM serta sukarelawan 2 hari sekali.

“Makanan itu dihantar dari rumah ke rumah, ke setiap kampung, termasuk kampung Orang Asli,” katanya kepada FMT.

Beliau bersama beberapa sukarelawan mengagihkan bantuan makanan itu sehingga 3 pagi semalam.

Katanya, kerjasama daripada penduduk Orang Asli sangat baik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");