Berita Hari Ini

Penuntut IPT Diarah Kekal Di Kolej Sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam, swasta dan kolej komuniti akan kekal berada di kampus kediaman masing-masing, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Memetik BH Online, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapat nasihat daripada pelbagai pihak seperti polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Keputusan itu penting bagi memastikan pelbagai usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19, menerusi penguatkuasaan PKP yang berkuat kuasa hingga 28 April ini berkesan.

“Insya-Allah kebajikan mereka, termasuk makan minum akan terus ditanggung oleh kerajaan, jadi saya harap tidak timbul lagi isu mengenai hal ini kerana setiap keputusan diambil berikutan pandangan pelbagai pihak.

“Kita nak pastikan usaha memutuskan rantaian COVID-19 ini melakar kejayaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Pelbagai pihak, termasuk pakar kesihatan awam dan epidemiologi sebelum ini mengesyorkan supaya penuntut di IPT dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing, namun ia dilaksana menerusi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dirangka KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Cadangan itu dikemukakan selepas maklum balas mendapati majoriti daripada kira-kira 86,500 penuntut IPT yang masih berada di kolej kediaman masing-masing, sejak PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu kini berdepan risiko kesihatan mental.

Selain itu, timbul isu bahawa penuntut IPT tempatan seolah-olah dipinggirkan selepas kerajaan memberi kebenaran mahasiswa dari luar negara pulang ke tanah air dan kembali ke rumah masing-masing selepas menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan sentiasa mendengar keluhan dan pandangan pelbagai pihak mengenai situasi penuntut IPT ketika berada di kolej kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan turut mempertimbangkan saranan polis dan KKM mengenai isu bahawa penuntut IPT sepatutnya dibenarkan pulang secara berperingkat.

“Kita minta pelajar di IPT awam dan swasta untuk kekal berada di kolej masing-masing, justeru saya harap tidak timbul lagi isu selepas ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");