IPOH: Selepas di Taping, Perak kini membuka sebuah lagi Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPG) bagi membela nasib golongan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pusat penempatan sementara di Arena Badminton Perak, dekat sini yang mula beroperasi semalam itu mampu menempatkan 77 unit khemah kubikel yang mana 64 untuk lelaki dan 13 wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata sehingga kini seramai 49 gelandangan berjaya ditempatkan di pusat tersebut.
Katanya daripada bilangan itu, 46 terdiri daripada lelaki dan 3 perempuan yang kesemuanya dibawa dari sekitar Bandaraya Ipoh.
“Operasi menyantuni gelandangan ini kita mula pada jam 6 petang semalam di tiga lokasi di Bandaraya Ipoh iaitu di Taman Kanak-kanak, sekitar Sungai Kinta dan kawasan Pasar Raya The Store.
“Operasi melibatkan seramai 139 petugas daripada pelbagai agensi. Seramai 49 gelandangan berjaya dibawa ke sini dan dijangka jumlah tersebut akan ada pertambahan dari semasa ke semasa,” katanya.
Jelasnya kesemua mereka yang berumur antara 21 sehingga 78 tahun turut telah disaring oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Imigresen, serta Jabatan Pendaftaran Negara.
Selain itu menurutnya, tiga gelandangan iaitu masing-masing dua dari Kampar dan seorang dari Mualim akan turut ditempatkan di tempat pusat penempatan yang akan dibuka sehingga tamat tempoh PKP itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan kerja di PPG Arena Badminton Perak, di sini, hari ini.
Sementara itu Wan Norashikin berkata, antara tujuan mewujudkan PPG itu adalah bagi mengelakkan daripada wujudnya kluster baru Covid-19 terutamanya daripada kalangan gelandangan.
Katanya lagi, selaras dengan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, inisiatif itu juga bertujuan memberi perlindungan kepada golongan tersebut selain dapat membuat pemantauan kesihatan kepada mereka.
“Di sini pelbagai aktiviti yang telah dirangka untuk mereka yang mana ia melibatkan agensi-agensi seperti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kemas dan lain-lain.
“Mereka akan didedahkan dengan cara-cara menjaga kebersihan diri selain akan diterapkan skil-skil yang dapat membantu mereka untuk berdikari pada masa akan datang.
“Selain itu, mereka turut adakan didedahkan dengan kesedaran tentang wabak Covid-19 serta program-program keagamaan, moral dan sebagainya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kebajikan gelandangan yang melibatkan keperluan asas seperti makan dan minuman disediakan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sini dengan kekerapan lima kali sehari.
Wan Norashikin juga berkata sekiranya ada keperluan, pusat yang sama bakal diwujudkan di daerah-daerah lain yang memerlukan.