Perak Hari Ini

Perak Lancar Skim Agro Prihatin, Bantu Petani Yang Terjejas PKP

IPOH: Bagi membantu para petani di Perak yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan negeri melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin), hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata menerusi skim tersebut, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan membeli kesemua sayur dan buah yang tidak terjual daripada petani di negeri ini dengan peruntukan RM1 juta.

Katanya pembelian akan dilakukan secara tunai bagi membantu kecairan modal segera petani khususnya yang berdaftar Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak atau PPPNP.

“Setelah itu, hasil pertanian akan dijual terus ke rakan-rakan strategik antaranya KLK Berhad dan syarikat-syarikat perladangan sawit di negeri Perak.

“Ia seterusnya diagihkan kepada kakitangan mereka yang dianggarkan seramai 10,000 orang.

“Sementara itu, syarikat korporat seperti Agroto Business pula akan memasarkan hasil pertanian yang dibeli itu ke pasar-pasar raya,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga PPPNP.

Tambah beliau lagi, hasil pertanian yang sama juga akan turut akan disalurkan kepada operator Central Kitchen yang mana organisasi tersebut terlibat dalam penyediaan makanan bermasak kepada petugas barisan hadapan dalam operasi mengekang penularan wabak Covid-19 di seluruh Perak.

Menurutnya selain Central Kitchen, antara rakan strategik lain yang turut terlibat sama ialah, Pertubuhan Peladang Kawasan Selama.

“Maka kerajaan negeri menyeru kepada para petani yang terjejas untuk berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, FAMA Negeri Perak atau PPPNP bagi memudahkan urusan dalam Skim AgroPrihatin,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media Pengumuman Skim AgroPrihatin di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook milik beliau, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal berkata sehingga 14 April ini pengeluaran hasil pertanian di Perak dianggarkan melebihi 13,000 tan metrik.

Walau bagaimanapun katanya dianggarkan dari 20 peratus ke 30 peratus hasil pertanian itu tidak dapat dijual berikutan pengurangan permintaan seperti daripada pemborong dan rangkaian restoran susulan pelaksanaan PKP.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Skim AgroPrihatin, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi dan laman Facebook rasmi Jabatan Pertanian Negeri Perak, FAMA Negeri Perak dan PPPNP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");