Berita Hari Ini

Petugas Kesihatan, Pendakwah Daripada Kluster Tabligh Anjurkan Sesi Kongsi Ilmu

BESUT: Memahami tempoh kuarantin 14 hari yang dilalui pesakit dalam siasatan (PUI) boleh mengundang stres dan gangguan emosi, petugas kesihatan ini mengambil inisiatif menganjurkan sesi tazkirah agama secara berkala di dua pusat kuarantin seliaannya di Besut, Terengganu.

BH Online melaporkan, menariknya sesi tazkirah ini disampaikan secara sukarela oleh pendakwah daripada kluster tabligh yang didapati negatif COVID-19 dan pernah menjalani kuarantin di pusat kuarantin berkenaan.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Daerah Besut, Alwi Omar, berkata sesi tazkirah itu diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILTIM), Bukit Keluang dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan.

“Program santapan rohani ini bermula pada 24 Mac lalu di kedua-dua pusat kuarantin berkenaan dan saya terfikir untuk membantu memandangkan ada permintaan dalam kalangan PUI sendiri supaya diadakan tazkirah agama.

“Selain membantu individu yang dikuarantin di sini memanfaatkan banyak masa terluang dengan majlis ilmu, ia juga bertujuan memberikan semangat dan menggalakkan mereka terus berfikiran positif, cekal dan reda dengan ujian yang sedang dihadapi.

“Saya juga percaya bimbingan agama dapat menghilangkan stres mereka yang melalui tempoh 14 hari kuarantin ini,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Alwi berkata, jadual harian sesi tazkirah ini akan diadakan di antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari dan beliau sendiri yang akan menguruskan jemputan pendakwah.

“Biasanya, penghuni pusat kuarantin ini akan mendengar tazkirah yang disampaikan daripada luar bilik masing-masing.

“Bahkan, kami tidak ada halangan sekiranya ada yang mendengar dari dalam bilik kerana ustaz yang menyampaikan tazkirah dibekalkan dengan mikrofon.

“Ustaz dalam kalangan pendakwah tabligh ini akan menyampaikan pelbagai topik termasuk ibadah dan kekeluargaan,” katanya.

Beliau turut berkata, sesi tazkirah di kedua-dua pusat kuarantin yang menempatkan pesakit dalam siasatan (PUI) itu buat masa ini diperlahankan kerana kebanyakan penghuninya sudah dibenarkan pulang selepas saringan COVID-19 mereka didapati negatif.

Sementara itu, bagi bekas penghuni pusat kuarantin IPG Kampus Sultan Mizan, Azmi Abdullah, inisiatif berkenaan sangat memberi kesan positif dengan pergerakan mereka yang serba terbatas dan tidak dapat berhubung secara langsung dengan orang sekeliling.

“Semua PUI memuji langkah Pejabat Kesihatan Daerah Besut kerana mengatur program yang cukup bermakna untuk pengisian jiwa dan rohani.

“Setiap kali kedengaran ustaz memberi salam di corong pembesar suara, semua PUI akan berdiri di depan pintu bilik masing-masing untuk mendengar tazkirah,” katanya yang disahkan negatif COVID-19 dan dibenarkan pulang pada 12 April lalu.

Azmi turut berkata, sesi tazkirah itu sekurang-kurangnya mengurangkan kesunyian mereka dengan kebanyakan masa berkurung di dalam bilik secara perseorangan.

Beliau di antara 34 jemaah Surau Al-Jannah, Kampung Seri Nangka, Besut yang diarah menjalani kuarantin selepas seorang daripada ahli jemaah tetap surau berkenaan disahkan positif COVID-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");