Perak Hari Ini

PKP Fasa Ke-3: Perak Benarkan Nikah Di Pejabat Agama Sahaja

IPOH- Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini membenarkan untuk mengadakan Majlis Akad Nikah dengan mematuhi Tatacara Khas Majlis Akad Nikah menurut panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, Majlis Akad Nikah hanya dibolehkan dilaksanakan di pejabat agama sahaja di mana tempoh masa pelaksanaan majlis hendaklah tidak melebihi 30 minit.

“Majlis Akad Nikah hendaklah dilaksanakan hanya di premis Pejabat Agama Islam Daerah dan tidak dibenarkan di premis persendirian atau di tempat awam seperti Masjid, Surau, Dewan atau tempat-tempat awam yang lain.

“Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya hendaklah menyediakan sebuah Bilik Khas bagi menjalankan Majlis Akad Nikah. Proses nyah kuman (disinfection) hendaklah dilakukan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Majils Akad Nikah yang dijalankan oleh Jurunikah kariah berkenaan hendaklah dikawal selia oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, tatacara baharu iaitu Tatacara Versi 2.0 dikeluarkan bagi menggantikan Tatacara Versi 1.0 bertarikh 17 Mac 2020 dikeluarkan selaras dengan lanjutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau, Tatacara Versi 2.0 hendaklah dipatuhi ketika berlangsung Majlis Akad Nikah di dalam Negeri Perak.

“Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya hendaklah memastikan beberapa perkara yang ditetapkan dipatuhi semasa acara berlansung.

“Majlis tersebut hendaklah dibatalkan oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah jika sekiranya Tatacara Versi 2.0 tidak dipatuhi atau arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Negeri Perak (KPNCR),” katanya.

Kata Mohd Yusop, hanya enam orang sahaja yang dibenarkan untuk berada di majlis berkenaan.

“Majlis tersebut hanya boleh dihadiri oleh seorang Jurunikah, dua orang Saksi, seorang Pengantin Lelaki, seorang Pengantin Perempuan dan seorang Wali dari pihak Pengantin Perempuan,” katanya.

Walaubagaimanpun katanya, dokumentasi dan pengeluaran Sijil Perakuan Nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat PKP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");