Berita Hari Ini

PKP: Kereta banyak kerana petugas perkhidmatan penting – Polis

Polis menafikan jumlah kereta yang banyak di jalan raya terutama ketika sekatan jalan raya sempena Ops COVID-19 di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini adalah disebabkan orang ramai gagal mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata sebaliknya kebanyakan mereka adalah petugas perkhidmatan penting serta pekerja industri di Bayan Lepas selain pemeriksaan ketat  PKP.

“Kami hanya menjalankan tugas dan sudah berusaha untuk mempercepatkan pemeriksaan. Jadi, saya harap semua pihak faham peranan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan pekerja yang hendak ke Bayan Baru ataupun Bayan Lepas dari pusat bandar agar menggunakan laluan alternatif di Jalan Green Lane dan Gelugor bagi mengelakkan mereka terkandas dalam kesesakan lalu lintas di lebuh raya itu.

Menurutnya, pematuhan fasa ketiga PKP di daerah Timur Laut dilihat semakin meningkat apabila orang ramai sudah memahami pelaksanaan perintah tersebut malah kawasan hotspot pasar awam juga didapati mematuhi PKP.

Sementara itu, Soffian menasihatkan orang ramai agar tidak membuat tanggapan sendiri terhadap pengumuman bahawa semua daerah di Pulau Pinang akan diisytihar sebagai zon hijau pada 27 April ini sekiranya tiada pertambahan kes wabak COVID-19.

Beliau berkata pelaksanaan PKP masih berjalan dan semua pihak perlu mematuhinya kerana selagi tiada pengumuman rasmi dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) maka orang ramai perlu terus patuh arahan PKP.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");