Berita Hari Ini

PKP: PDRM Akan Ambil Tindakan Lebih Tegas – Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Tindakan yang lebih tegas akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada individu yang ingkar penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga dari 15 hingga 28 April ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata bagi tempoh lanjutan PKP seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, PDRM akan lebih tegas dan tidak akan berkompromi dengan individu yang masih ingkar dan degil dengan arahan penguatkuasaan itu.

“Mereka yang ingkar dalam mematuhi PKP kali ini akan ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Bagi kesalahan pertama, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kesalahan kedua, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri–menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini, lapor Bernama.

Ismail Sabri berkata dalam tempoh PKP ini, individu yang gagal memberi kerjasama kepada petugas kerajaan, termasuk anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti doktor atau jururawat akan didakwa di bawah Seksyen 186, Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Jelasnya jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Beliau berkata setakat semalam PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 779 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 490,249 kenderaan.

“Sebanyak 47,949 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dan sebanyak 5,028 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa. PDRM telah menahan 1,095 individu kerana ingkar PKP, dan 815 individu dikenakan kompaun RM1,000. Sebanyak 242 individu direman dan 38 individu diberi jaminan polis,” katanya.

Ismail Sabri berkata jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga semalam adalah sebanyak 7,759 individu manakala seramai 373 dituduh di mahkamah kerana ingkar arahan PKP,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");