Berita Hari Ini

PKP: Sultan Kelantan Berkenan Kembalikan Emolumen Diraja Selama Enam Bulan

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengikut langkah Yang Dipertuan Agong dengan mengembalikan Emolumen Diraja kepada Perbendaharaan Negeri selama enam bulan bermula April hingga September.

Astro Awani melaporkan, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Shafirman Nik Hassan berkata, Sultan Muhammad berkenan mengikut jejak Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengembalikan semula bayaran tersebut mulai Mac hingga Ogos depan.

“Baginda berharap Emolumen Diraja yang dikembalikan itu dapat diuruskan sewajarnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan supaya dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, baginda turut mengingatkan seluruh rakyat supaya bekerjasama membantu barisan hadapan negara dengan mematuhi PKP.

Katanya, langkah itu tepat dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (COVID-19).

“Pergerakan kerana ia adalah penting untuk melandaikan puncak jangkitan (flattening the curve) dengan melindungi golongan yang mudah terdedah dan mengelakkan lebih ramai keluarga kehilangan orang yang disayangi.

“Sultan Muhammad V turut bertitah walaupun PKP ini mungkin sukar bagi ramai orang, tetapi ia adalah langkah yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata, baginda Sultan Kelantan berharap supaya rakyat dapat terus bersabar dan memandang PKP dari sudut positif dimana mereka boleh meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga, bermuhasabah dan beribadat.

Ujarnya, baginda berpesan supaya rakyat sentiasa bertimbang rasa dan saling membantu antara satu sama lain.

“Baginda sekali lagi merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat dalam sektor perkhidmatan kritikal yang tidak mengenal penat lelah dan berkorban untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Akhir sekali, Baginda mengajak semua rakyat untuk turut sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan COVID-19 ini dapat dikekang dan barisan hadapan yang sedang berjuang menyelamatkan pesakit sentiasa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");